Bintang

salji


Monday 12 November 2012

Trip to Pondok Remaja Inabah II Terengganu

Entri kali ini Fina nak cerita sikit trip kami sekelas sebagai pelajar kaunseling ke Pondok Remaja Inabah II di Terengganu. Kami ke sana pada 31 Mac hingga 1 April 2012 sebagai salah satu kerja lapangan untuk kursus Kaunseling Penyalahgunaan Dadah. Tujuan kami ke sana adalah untuk mengetahui serba sedikit dan menjalankan kajian kes mengenai kehidupan penagih dadah yang menghuni di pondok tersebut. Berdasarkan temubual Fina bersama rakan-rakan, kami mendapati ramai penghuni di sini yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengaruh rakan sebaya dan perasaan ingin mencuba.Pondok ini menggunakan kaedahnya yang tersendiri untuk memberi rawatan pemulihan kepada penagih dadah yang menghuni di situ. Fina akan sertakan sejarah penubuhan Pondok Inabah II ini bersama kaedah rawatan yang digunakan. 


SEJARAH PONDOK REMAJA INABAH

Inabah adalah istilah yang berasal daripada Bahasa Arab anaba-yunibu (mengembalikan) sehingga Inabah bererti pengembalian atau pemulihan, maksudnya proses kembalinya seseorang dari jalan yang menjauhi Allah ke jalan yang mendekati kepada Allah. Istilah ini digunakan pula dalam Al-Quran iaitu dalam surah Luqman ke-31 ayat ke-15, Surah ke-42, Al-Syura ayat ke-10; dan pada surah yang lainnya
.
Pondok Remaja Inabah merupakan sebuah institusi pusat untuk aktiviti Tarikat Qadiriyyah Naqsyabandiyyah yang berpangkalan di Pondok Pesantren Suryalaya, Indonesia. Terdapat tiga cawangan di Malaysia, iaitu di Kuala Nerang, Kedah, Terengganu dan Sabah.

Di Terengganu, Inabah pada mulanya beroperasi secara kecil-kecilan di Surau Cerong Lnjut, Bandar Kuala Terengganu di bawah jagaan Ustaz Haji Mohd Othman bin Abdul Latif selaku wakil talqin Abah Anom. Namun pada tahun 1990 ia telah berpindah ke satu tempat baru iaitu di Kampung Sungai Ikan, Gemuruh, Kuala Nerus, Terengganu dengan jarak lebih kurang 25 kilometer dari Bandar Kuala Terengganu. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas lebih kurang 10 ekar. Setelah Ustaz Haji Mohd Othman meninggal dunia, pentadbiran Inabah diambil alih oleh isteri dan anak beliau sehingga sekarang.

Pusat-pusat Inabah ini beroperasi secara sah dari segi undang-undang di mana ia bernaung di bawah PEMADAM. Sehingga kini, Inabah telah berjaya memulihkan sejumlah penagih-penagih dadah dan juga muda-mudi yang bermasalah untuk membaiki diri dan seterusnya kembali semula ke pangkuan masyarakat. Rekod Inabah menunjukkan bahawa lebih 50% penagih dadah dan remaja bermasalah yang memasuki Inabah berjaya dipulihkan.  


Secara umumnya kaedah rawatan melalui pendekatan Tarikat Qadiriyyah Naqsyabandiyyah. Pondok ini menekankan konsep pembinaan serta bimbingan rohani dan jasmani, Ma’rifatullah (mengenai Allah), dan Taubat. Pengisian dalam Rawatan dan Pemulihan terdiri daripada Talqin dan Bai’h (janji), Zikir, Solat (Fardhu dan Sunat), Khotaman (secara mingguan), dan Manaqiban (bulanan).

Pondok Remaja Inabah merupakan sebuah institusi yang sesuai sebagai alternatif selain Pusat Serenti yang disediakan oleh kerajaan untuk membina dan membimbing mangsa penyalahgunaan dadah, masalah sosial remaja, serta mereka yang mengalami tidak ketenteraman jiwa untuk kembali ke jalan yang benar menurut perintah Allah. Kebanyakan anak bina yang berada di sini adalah mereka yang mempunyai kewangan yang kukuh dan tidak mahu melibatkan mahkamah yang boleh menjejaskan rekod individu dalam simpanan kerajaan.
Kebanyakan anak bina yang berada di sini adalah dalam lingkungan umur 14 hingga 50 tahun. Yuran bulanan dikenakan kepada setiap anak bina iaitu sebanyak RM500 sebulan. Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM50 dan lain-lain RM50. Rawatan minimum kepada anak bina yang tinggal di sini adalah selama lapan bulan dan mereka akan diletakkan secara bersendirian di dalam bilik yang berasingan apabila mula mendaftarkan diri selama tujuh hari.

Selain itu, anak bina juga tidak dibenarkan berjumpa dengan keluarga selama sebulan setelah mendaftarkan diri. Keluarga boleh melawat anak bina semasa waktu pejabat sahaja di balai perjumpaan.

RAWATAN LIMA METHOD PONDOK REMAJA INABAH

Landasan atau sandaran umum bagi pemulihan penagih dadah dan menangani masalah kenakalan remaja menerusi method inabah ini adalah merujuk kepada petunjuk yang ditemui dalam ayat al-Quran dan juga Hadis Nabi.  Penelitian  terhadap ayat al-Quran dan juga hadis Nabi s.a.w mendapati bahawa petunjuk al-Quran secara umumnya dan zikir secara khususnya menjadi penyembuh bagi penyakit khususnya penyakit mental dan spiritual yang menjadi punca bagi banyak masalah lain.  Inilah yang menjadi dasar kepada method pemulihan inabah.  Inabah berasaskan kepada beberapa konsep yang menjadi dasar kepada usaha pemulihannya, iaitu taubat (kembali kepada Allah), benteng keimanan dan perisai ketaqwaan.

Terdapat beberapa teknik yang digunapakai dalam proses pemulihan penagih dadah dalam menyelesaikan masalah kenakalan remaja di Pondok Remaja Inabah II, Kuala Terengganu.  Antara teknik  yang dilaksanakan ialah hidroterapi atau mandi taubat, solat, zikir, Qiyam-al-lail, puasa, doa-doa serta adab, majlis ilmu dan khidmat bakti sosial.   Teknik-teknik ini dilaksanakan secara insentif dalam tempoh tertentu, minimanya ialah 40 hari sehinggalah sampai 6 bulan, dan ini bergantung kepada tahap masalah yang dihadapi.
 
Mandi Taubat

Menurut pendekatan Inabah, orang-orang yang terlibat dengan penagihan dadah berada dalam keadaan kemabukan dan mereka perlu disedarkan dulu dengan cara mandi.  Pendekatan mandi ini adalah berasaskan kepada petunjuk yang terdapat dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud, “ingatlah ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu pententeraman dari-Nya dan Allah menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan air hujan itu dan menghilangkan dari kamu kotoran (gangguan) syaitan dan untuk menguatkan hati kamu dan memperteguhkan dengannya tapak kaki (pendirian) kamu”.

Falsafah mandi ini ialah sebagai usaha untuk membersihkan diri (taharah) zahir dan batin iaitu bersih badan dan jiwa.  Dari segi praktikalnya, mandi taubat ini dilakukan dengan niat bertaubat atau menghilangkan dosa seluruh anggota tubuh mulai hujung sampai hujung kaki.  Caranya ialah dengan mengalirkan air ke seluruh permukaan tubuh dari atas ke bawah.  Ketika mandi itu sentiasa dibacakan doa yang merupakan sepotong ayat al-Quran iaitu yang bermaksud “wahai Tuhanku tempatkanlah aku di tempat yang berkat kerana Engkau adalah sebaik-baikn yang member tempat”.  Mandi taubat yang dilakukan di Pondok Remaja Inabah II dilakukan satu jam sebelum waktu Subuh.  Mandi taubat dilakukan sekurang-kurangnya 40 hari tanpa putus bersama-sama 40 gayung pada setiap sekali mandi.  Sekiranya terkandas atau terputus, mesti dimulai dengan kiraan sifar.  Selalunya, mandian terputus disebabkan lewat bangun pagi, terlebih masa atau ketiadaan bekalan air.  Untuk satu hari, perlu dilakukan 40 gayung bersama-sama 40 kali doa dari Surah Al-Mukminin, ayat 29).

Mandi taubat ini mengandungi manfaat psikologis iaitu ia merupakan ekspresi daripada keinginan untuk membersihkan diri dari dosa anggota tubuh secara keseluruhan.  Di samping itu, ia juga mempunyai manfaat terapeutik terhadap penyakit atau gangguan biologis (fizikal) yang bersifat psikosomatif.  Selain itu, ia juga dilihat sebagai hidroterapi.  Menurut pakar, mandi di tengah malam atau awal pagi dalam keadaan kesejukan ini menjadikan pembuluh darah di bahagian permukaan mengecut atau mengecil sehingga darah berjalan laju dan pergi dengan lebih banyak ke bahagian otak dan tubuh bahagian terdalam.  Ia menjadi hidroterapi yang sangat efektif, menyegarkan jiwa raga yang pernah terseksa dengan racun dadah dan sebagainya.

Solat

Selain itu, method kedua ialah solat.  Solat, iaitu solat fardhu dan sunat merupakan satu amalan penting dalam proses pemulihan menerusi method Inabah.  Sandaran bagi amalan ini ialah firman Allah s.w.t yang bermaksud, “sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, dan ingat kepada Allah itu merupakan pekerjaan yang agung, dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”.  Solat merupakan amalan yang melibatkan gerakan fizikal dan mental dalam usaha berkomunikasi dengan Pencipta alam semesta.  Menerusi amalan dan latihan solat, seseorang itu dapat menghayati dan merasai kedekatan dengan Allah s.w.t seperti yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud bahawa sedekat-dekat kedudukan hamba dari Tuhannya ialah dalam keadaan dia bersujud.
 
Amalan solat yang dilakukan ialah solat fardhu lima waktu wajib dilakukan sehari semalam.  Kemudian, antara solat sunat yang turut dilakukan ialah solat sunat tahajjud, iaitu taubat, tasbih dan hajat, solat sunat dhuha, solat sunat ba’diah maghrib, dan solat sunat sebelum tidur.   Ternyata solat memiliki manfaat psikologis yang bersifat terapuetik.  Demikian juga gerakan dalam solat yang memiliki aspek senaman dan akupuntur yang terapeutik.  Menerusi pendekatan Inabah, selain dari solat fardhu, solat sunat yang terdiri daripada rawatib dan nawafil dilakukan sebanyak mungkin iaitu sejumlah 82 rakaat sehari semalam dengan pelbagai jenis solat sunat seperti yang telah diprogramkan. 

Zikir

Seterusnya, di Pondok Remaja Inabah II juga melaksanakan method zikir.   Zikir merupakan amalan penting dalam proses pemulihan menerusi pendekatan Inabah.  Penggunaan kaedah zikir ini adalah berpandukan kepada petunjuk yang terdapat dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud “Ketahuilah bahawa hanya dengan mengingati Allah itu hati menjadi tenteram”.  Terdapat dua jenis zikir iaitu zikir Jahr dan zikir Kahfi. 

Zikir Jahr ialah zikir kalimah tauhid yang diucapkan dengan lidah dengan syarat dan kaifiyyat tertentu.  Zikir ini bukan hanya diucapkan, malah ditanamkan dalam diri manusia sehingga keyakinannya menjadi kuat dan perilaku serta amalannya menjadi baik.  Menerusi pendekatan Inabah, zikir kalimah tauhid ini diamalkan setiap kali selepas solat fardhu sejumlah paling kurang 165 kali.  Manakala, zikir Khafi pula ialah zikir Ism al-dhat yang ditanam dan diisi di dalam hati dan perasaan sehingga terasa dan sedar terhadap kebersertaan-Nya di mana juga berada.  Zikir ini diamalkan dengan pensyaratan dan kaifiyyat tertentu.  Di Pondok Remaja Inabah II merupakan pengamal Tarikat yang terdiri daripada Qadiriah dan Naqsyabandiyyah.  Mereka banyak mengamalkan kalimah tahlil iaitu “Lailahaillallah”
.
Majlis Ilmu

Method keempat ialah melalui majlis ilmu.  Majlis ilmu biasanya dilakukan di surau Pondok Remaja Inabah ataupun di tempat-tempat lain seperti masjid dan sebagainya.  Majlis ilmu yang dilakukan sama ada melalui kuliah ataupun ceramah daripada penceramah yang dijemput.  Penceramah adalah berbeza dan dijemput dari luar iaitu pensyarah-pensyarah yang tertentu.  Antara pensyarah atau penceramah yang terlibat ialah Dr. Abdul Manan, Dr. Sudirman, Ustaz Ahmad Saufi dan ramai lagi.

Khidmat Sosial

Di samping itu, method terakhir ialah khidmat bakti.  Khidmat bakti yang sering dilakukan ialah melalui jemputan daripada sekolah, kampung dan sebagainya.  Antara bantuan atau khidmat tolong-menolong yang dilakukan ialah semasa kenduri, kematian ataupun pembersihan kawasan sekolah dan sebagainya.  Namun begitu, di Pondok Remaja Inabah II juga memberi kelapangan kepada anak bina untuk beriadah.  Mereka boleh bersukan, antaranya takraw, silat dan beberapa aktiviti lain.

















4 comments:

  1. assalamualaikum saudari, boleh saya dapatkan email pondok inabah di kuala terengganu? kerana saya juga perlu menyelesaikan tugasan yang berkenaan di bawah subjek kaunseling pemulihan dadah. saya pelajar kaunseling tahun 3.

    ReplyDelete
  2. no hp pej pondok tu ape
    ????

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum.. saya ingin bertanya cara nak daftar masuk untuk pemulihan dadah. saya nak masukkan adik saya kerna masalah penangihan dadah.

    ReplyDelete