Bintang

salji


Sunday 11 November 2012

Pengurusan Masa

DEFINISI

Secara rasionalnya masa bukanlah suat masalah yang memerlukan kepada suatu pengurusan, yang penting adalah bagaimana seseorang individu itu mengendalikannya. Masa juga dirujuk sebagai semua tindakan yang dipatuhi oleh individu bagi memastikan mereka menggunakan masa dengan sebaiknya. Contohnya dengan penggunaan alat elektroik masa.

Teknik pengurusan masa tidak hanya merujuk kepada teknik membuat jadual harian sahaja. Jadual harian mungkin hanya sebahagian kecil daripada Teknik Pengurusan Masa. Secara ringkas, teknik pengurusan masa merujuk kepada cara menguruskan masa agar anda dapat mencapai matlamat anda. Dengan teknik pengurusan masa yang berkesan, anda dapat capai banyak perkara dalam masa yang singkat.

PENGENALAN

Pengurusan masa adalah penting bagi setiap manusia tidak kira dari peringkat pelajar, pekerja, suri rumah dan golongan-golongan lain dalam menguruskan 24 jam yang kita ada agar segala aktiviti yang kita lakukan lebih tersusun dan dapat mencapai matlamatnya dalam tempoh yang telah ditetapkan. Untuk menjadi seorang yang bijak dalam menguruskan masa yang ada seseorang itu perlulah matang dalam membahagikan masanya dan bijak dalam membezakan agenda atau aktiviti yang penting dan kurang penting. Masa adalah perkara yang tidak akan berulang semula. Jadi, perancangan yang betul haruslah dilakukan bagi memastikan pembaziran masa tidak berlaku supaya kita dapat melakukan sesuatu kerja mengikut perancangan yang dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Pengurusan masa yang betul dapat memudahkan seseorang itu melakukan tugasnya dengan cara yang sistematik. Dalam konteks yang lebih luas, masa bagi setiap individu bermula daripada lahirnya ke dunia ini sebagai seorang bayi sehinggalah ke akhir hayat.


Manusia memerlukan dan melakukan pelbagai kegiatan dalam kehidupannya. Badan manusia memerlukan tidur dan makan. Otak manusia perlu rehat dari pemikiran serius dan berat. Untuk keselesaan, manusia juga perlu membersihkan badannya, pakaian dan menyediakan makanan. Di samping itu, sebagai makhluk bermasyarakat, manusia perlu mengambil masa bergaul dengan sahabat handai dan kaum keluarga.

Pelajar tidak boleh lari daripada kegiatan biasa seseorang manusia. Oleh itu, sekiranya kegiatan kehidupan tidak diseimbangkan pelajar mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Salah satu rahsia kejayaan orang yang berpencapaian tinggi adalah pengurusan masa yang cekap yang membolehkan mereka membuat dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan dengan jayanya.

Oleh kerana minat dan keperluan kepada pelbagai kegiatan, seseorang itu kadang kala akan menghadapi pertelingkahan mengenai apa yang hendak dibuat dalam sesuatu waktu. Sebagai contohnya, seorang pelajar hendak belajar tetapi pada waktu yang sama ingin menonton TV. Keadaan begini menyebabkan pelajar tersebut serba salah, dan ia akan membazirkan masa untuk mengambil keputusan. Perencanaan masa mengelakkan dilema begini kerana kegiatan pada suatu masa itu sudah diputuskan.

KEPENTINGAN MASA

Pelajar bermotivasi dan cemerlang sentiasa membahagi dan menggunakan masa secara berkesan. Ini kerana mereka sentiasa menghargai masa. Berharganya masa dapat dihayati dengan memahami sifat-sifat masa seperti berikut:
  •   Masa tidak boleh disimpan, dibekukan atau disorok.
  • Masa yang berlalu tiada ganti dan tidak akan berulang semula.
  • Masa tidak boleh diberi pinjam dan dipinjamkan kepada orang lain.
  • Masa yang semakin banyak berlalu, bermaksud semakin sedikit yang tinggal.
  • Jika kita fikirkan masa lima tahun akan dating mungkin dirasakan lambat, tetapi apabila telah menempuhinya kita rasakan terlalu cepat dan singkat.

Namun, terdapat juga sebilangan pelajar yang sengaja membazirkan masa dengan perkara yang tidak bermanfaat atau merosakkan diri sendiri. Di samping itu, terdapat juga pelajar yang mungkin tidak sedar bahawa mereka telah membazirkan masa atau gagal menggunakan masa dengan berkesan. Pembaziran masa boleh berlaku dalam keadaan seperti:

a.    Apabila melakukan perkara yang merosakkan dirinya sendiri atau orang lain. Misalnya ponteng sekolah. Seseorang yang melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat atau sia-sia. Misalnya sms yang tidak penting.
b.      Aktiviti yang dilakukan secara tidak cekap atau menggunakan teknik yang salah. Misalnya membaca buku sambil tidur.
c.    Aktiviti dengan jumlah masa yang digunakan tidak berkesan secara ekonomi. Misalnya mengambil masa yang terlalu lama untuk menjawab soalan yang ringkas.
d.  Seseorang sering melakukan aktiviti bermanfaat yang diselang-seli dengan aktiviti yang tidak bermanfaat. Misalnya belajar sekejap kemudian berhenti untuk menonton televisyen.

Kepentingan masa dan sikap pelajar yang sering dan mudah alpa dan membazirkan masa, maka adalah penting untuk membina jadual pengurusan masa dan belajar. Pengurusan masa yang berkesan akan meningkatkan keberkesanan pembelajaran, cekap dalam pengurusan peribadi dan meningkatkan motivasi.

BAGAIMANA MENGURUS MASA DAN JADUAL BELAJAR?

Hanya dengan mempelajari pengetahuan, kemahiran dan teknik pengurusan masa yang betul kita akan mempunyai peluang untuk menggunakan masa secara berkesan dengan cekap. Membina jadual waktu  dengan mengatur aktiviti peribadi dan pembelajaran, secara sistematik akan membantu seseorang pelajar mempunyai sistem dan disiplin diri. Walaupun nampak sukar, tetapi ia adalah antara kaedah terbaik yang perlu dipatuhi dengan tekun untuk membantu anda menggunakan masa dengan berkesan dan cemerlang. Kaedah mengurus masa dan belajar yang berkesan perlu melalui empat langkah yang digariskan iaitu:

    1.  Langkah 1: Menganalisis Aktiviti Dan Masa Seharian

Setiap manusia hanya diberi anugerah masa sebanyak 24 jam sahaja sehari semalam. Tidak ada manusia yang mendapat lebih daripada itu walau siapa dia, sama ada perdana menteri, pelajar universiti, polis, guru, pelajar, peminta sedekah atau perompak. Jumlah masa kita adalah sama. Namun begitu, kita sering mendengar pelbagai rungutan manusia tentang masa. Antaranya didengari ialah:
  • “Mana masa aku pergi ni…?”
  •   “Alangkah baiknya kalau saya ada 30 jam sehari”
  • “Ahh…tak cukup masa…lah!”
  •   “Macam mana nak buat nie..masa dah hampir”
  •   “Hai…lambatnya masa berjalan”
  • Boringlah! Tak tahu nak buat apa masa ni…”
  •  “Laa…bilalah nak pukul 10 pagi ni! Lambatnya masa berlalu…”
  •  “Menyesal aku, masa dulu-dulu aku sering lupa dan lalai…”
  •   “Alangkah baiknya kalau masa itu boleh berputar semula…”
Sebenarnya jika kita bijak merancang masa dengan aktiviti yang ingin dilakukan, kita tidak akan mengalami masalah kekurangan masa atau terlebih masa. Ini kerana, dengan teknik, taktik, kebijaksanaan dan komitmen yang bersungguh-sungguh kita pasti sentiiasa mempunyai aktiviti untuk dilakukan. Serentak dengan itu juga aktiviti yang dilakukan akan lebih berkesan, berfaedah dan mendapat pulangan yang bermanfaat secara maksimum.

Panduan Analisis Pembahagian dan Peruntukan Masa Kendiri
Bil
Aktiviti seharian yang dilakukan
Jumlah masa diperuntukkan dalam sehari semalam (jam / minit)
Jumlah masa diperuntukkan dalam seminggu (jam / minit)
1.
Membersihkan diri (gosok gigi, mandi dan lain-lain).


2.
Berkemas dan menyiapkan diri (menyiapkan baju, bersolek, dan lain-lain).


3.
Masa di sekolah dan tuisyen (jika waktu persekolahan atau tuisyen).


4.
Bercakap ditelefon (berbual, SMS, ).


5.
Masa termenung dan berangan.


6.
Masa untuk beribadat (berwuduk, solat, doa).


7.
Masa mengulangkaji pelajaran di rumah (belajar sendiri, membuat nota kerja dan keja rumah).


8.
Masa menonton televisyen dan mendengar radio


9.
Melakukan tugas rumah (memasak, basuh baju,dan sebagainya)


10.
Bermain atau bersukan


11.
Keluar bersantai tanpa arah tuju (berjumpa kawan, melepak atau bersiar-siar)



Jumlah masa keseluruhan




Membuat Jadual Waktu
  • Hapuskan masa-masa yang dibazirkan. Pastikan anda tidak membiarkan sebarang ruang yang dapat mensia-siakan hidup anda sebagai pelajar. Jadikan setiap tempoh waktu dalam hidup anda bererti dan memberi faedah. Tumpukan jadual belajar pada waktu siang kerana kajian menunjukkan produktiviti sejam pada waktu siang menyamai sejam 30 minit pada waktu malam.
  • Susun tugasan kerja mengikut keutamaan. Kerja yang tidak begitu penting dikemudiankan. Siapkan yang utama dahulu. Belajar cara menentukan keutamaan dan menyusun jadual tugasan yang cekap dan berkesan.
  • Elakkan jadual waktu yang terlalu lengkap. Berikanlah ruang kuasa kepada anda menentukan lebih banyak keputusan yang di luar jangkaan. Berikan lebih banyak kekebasan kepada diri sendiri menyelesaikan urusan harian mengikut kesesuaian. Anda dapat membuat jadual anjal iaitu dengan menetapkan sasaran tertentu dalam sehari. Contohnya, pelajar menetapkan dua jam bagi mengulang kaji dalam sehari.  Pelajar juga boleh membuat 50 soalan latih tubi sehari ataupun membuat nota bagi dua topic sehari. Dengan ini, pelajar tidak terkongkong dengan waktu-waktu tertentu, tetapi pelajar tetap mencapai sasaran yang ditetapkan.
  • Ketahui tabiat tidur anda. Ia adalah sangat penting. Hampir satu pertiga daripada hidup anda dipenuhi dengan tidur. Apabila anda tidak menyusunnya dengan betul, tidak mustahil ia merugikan anda. Apa yang paling asas sekali ialah memperuntukkan masa untuk tidur. Jangan sesekali biarkan badan anda kepenatan akibat kurang tidur. Tetapi dalam masa yang sama jangan pula terlebih tidur. Ia juga cukup memenatkan. Oleh sebab itu, anda perlu merancag waktu tidur yang baik.
  • Lebihkan masa untuk kerja-kerja yang sukar.  Apabila ada kerja yang sukar ataupun kerja yang anda tidak biasa, peruntukkan lebih masa daripada jangkaan biasa. Katakan anda menjangka melakukannya dalam masa 30 minit, ada baiknya anda memperuntukkan antara 45 minit hingga satu jam. Kemungkinan anda melakukan kesilapan ataupun kesuntukan masa. Apabila ini berlaku, anda masih mempunyai masa memperbaikinya dan tidak perlu terkejar-kejar melakukan tugasan yang lain.
  • Tentukan sistem ganjaran dan denda. Setiap kali anda berpuas hati dengan prestasi anda mematuhi jadual waktu, berikan sedikit ganjaran. Tidak perlu yang mahal-mahal, cukuplah sekadar membelanja diri sendiri makan lebih sedikit daripada biasa. Sebaliknya, apabila anda menunjukkan prestasi yang teruk, hukumlah diri anda. Misalnya dengan melarang diri sendiri daripada menonton rancangan TV kegemaran ataupun tidak boleh bermain bersama kawan-kawan.
  • Letakkan jadual di tempat yang mudah dilihat. Jangan sorokkan jadual kebanggaan anda itu. Kebanyakan pelajar malu dan segan apabila orang melihat jadualnya. Kenapa pula? Bukankah ia menunjukkan anda seorang yang tersusun dan terancang? Selain itu, rakan-rakan juga dapat menjadi tenaga pendesak kepada anda bagi mematuhi jadual waktu. Sekiranya tidak, kawan-kawan yang lain memandang rendah kepada anda. Semakin mudah anda melihatnya, semakin kerap anda memandangnya. Semakin kerap anda memandangnya, semakin patuh anda kepadanya.
  • Berbaik dengan jadual waktu. Apabila anda mempunyai seorang kawan baik, pasti anda pernah merindui mahu berjumpa dengannya. Bagaimana dengan jadual waktu anda? Sepatutnya anda sentiasa teringat dan merindui jadual anda setiap masa. Tanpanya, tidak teraturlah hidup anda. Bukan begitu?
  • Buat semakan dari masa ke semasa. Ada kalanya jadual waktu perlu diubahsuai mengikut komitmen, keutamaan dan peristiwa yang berlaku di sekeliling. Kegagalan mengubahsuai menyebabkan anda sukar mematuhinya. Lama-kelamaan, anda berasa bosan dan menyalahkan jadual waktu. bukan salah jadual waktu sebenarnya, tetapi salah anda yag tidak mengemas kini jadual anda!

Faktor yang Perlu Diambil Kira dalam Penjadualan

Keutamaan

Setelah mengetahui bagaimana masa digunakan dalam sehari-hari, pelajar perlu menentukan berapa  lama ia perlu belajar, masa untuk bergaul dan untuk perkara-perkara lain. Kalau difikirkan dan direnungi dalam-dalam, memanglah banyak perkara yang ingin kita lakukan tetapi masa dalam sehari hanya ada dua puluh empat jam! Memang benar kata-kata “masa itu emas”. Seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah meletakkan masa belajar sebagai suatu keutamaan melebihi kegiatan sosial atau hiburan. Tetapi keutamaan bukanlah bermakna menghapuskan kegiatan tersebut. Kegiatan tersebut adalah rempah ratus hidup yang dapat menghindarkan perasaan bosan di samping mencaskan kembali otak yang letih. Di sinilah peranan pengurusan masa, di mana seseorang pelajar dapat mengatur dirinya untuk memberi keutamaan kepada pelajaran di samping mengambil bahagian dalam kegiatan lain.

Rancangan jangka panjang dan pendek

Pengurusan masa yang berkesan untuk tujuan pembelajaran memerlukan jadual masa jangka panjang dan jadual masa mingguan.

Jadual masa jangka panjang mengambil kira silibus yang hendak diliputi, masa percutian dan masa persediaan untuk peperiksaan. Dengan meneliti silibus kita dapat menganggarkan bahan dan buku yang hendak dipelajari dan dalam sesetengah kes kerja-kerja kursus seperti amali makmal yang perlu dibuat. Rancangan jangka panjang ini juga menetapkan bilakah persediaan intensif untuk peperiksaan bermula.

Sebaik-baiknya jadual mingguan dibuat setiap minggu supaya masa dapat digunakan secara optimum sesuai dengan keperluan pada minggu berkenaan. Umpamanya pelajar ingin menghadiri sesuatu acara pada waktu yang biasanya ia mengulang kaji, katakanlah pukul 8.00 hingga 10.00 malam pada dua malam dalam sesuatu minggu. Ia harus memikirkan sama ada ia perlu menggantikan masa ulang kaji pada waktu lain ataupun tidak.

Sekiranya jadual mingguan sukar hendak dibuat setiap minggu, sekurang-kurangnya pelajar mestilah mengubah jadual mengikut musim dan keadaan pelbagai fasa rancangan jangka panjang. Umpamanya dalam fasa awal, masa ulang kaji jadual mingguan tidak patut sama dengan masa jadual dalam fasa persediaan untuk peperiksaan.

Jadual masa yang boleh diamalkan

Sekiranya sesuatu perencanaan penggunaan masa itu sukar atau mustahil hendak dilaksanakan maka rancangan akan pelajar sentiasa mengubah cara ia menjalankan kegiatannya. Sebagai contohnya, jika waktu untuk makan dijadualkan selama 15 minit tetapi sebenarnya masa yang diperlukan adalah 30 minit, maka kegiatan selepas makan seperti berehat dan sebagainya akan terjejas. Pelajar tersebut akan mengubah atau membatalkan jadual kegiatan berikutnya. Jika perubahan sentiasa dibuat, disiplin untuk mematuhi rancangan tadi akan luntur dan lambat laun rancangan tadi tidak dapat diikuti lagi.

Masa tidur

Masalah rancangan masa yang terdapat di sesetengah kalangan pelajar ialah jadual masa tidur yang tidak sesuai. Ada pelajar yang gemar belajar hingga larut malam dan kemudiannya bangun lewat hinggakan tidak dapat hadir ke kelas atau kuliah. Perencanaan masa yang realistik mestilah memastikan supaya kelas atau kuliah serta kelas makmal dan bimbingan dapat diikuti. Sekiranya anda ada masalah ini, sesuaikan masa tidur anda dengan secara perlahan-lahan, yakni awalkan masa tidur anda peringkat demi peringkat hingga sampai ke tahap yang sesuai.

Pembaziran masa 

Banyak pelajar mempunyai jadual masa tetapi malangnya mendapati jadual tersebut tidak digunakan. Walaupun mereka bermula dengan niat baik mereka idak dapat mematuhi jadual tersebut. Salah satu sebabnya ialah kerana pembaziran masa.

Satu contoh yang dikatakan pembaziran masa adalah seperti berikut: seorang pelajar yang mengikut jadual beliau sepatutnya mengkaji mata pelajaran Sains Bahan antara pukul 8 hingga 10 malam. Semasa mengkaji nota kuliah Sains Bahan beliau mendapati ada tulisan beliau yang tidak dapat dibacanya. Oleh itu beliau memutuskan untuk bertanya kepada rakan sekursusnya yang kebetulannya jiran bilik beliau. Semasa ia masuk ke bilik kawannya beliau mendapati ada perbincangan yang menarik mengenai perlawanan bola sepak maka ia pun masuk campur berbincang. Setelah beberapa lama ia pun ingat yang sepatutnya ia membaca nota kuliah. Semasa perjalanan pulang ia teringat yang ada rancangan televisyen yang menarik pada waktu itu. Dengan bantuan bisikan hatinya, maka ia percaya yang beliau boleh membaca nota kuliah sambil menonton televisyen. Begitulah pembaziran masa berlaku hinggakan pukul 10.00 malam satu helai nota pun tidak habis dibaca.

Pembaziran masa merupakan batu penghalang kepada pembelajaran yang berkesan. Sekiranya anda mempunyai masalah ini selesaikanlah dengan berhati-hati dan beransur-ansur. Pembaziran masa boleh dihapuskan dengan amalan dan keazaman.
.
Rancangan masa yang realistik dan dipatuhi dengan penuh disiplin dapat membantu bukan sahaja pelajaran tetapi semua manusia untuk melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan dengan cara teratur.

Mengoptimumkan perencanaan

Sudah menjadi lumrah manusia yang kecergasan otaknya turun dan naik setiap hari. Pada waktu hampir tidur, manusia akan rasa mengantuk jika ia menjalankan kegiatan yang membosankan. Oleh itu, semasa membuat jadual perancangan masa, pelajar perlu mengambil kira waktu yang otaknya cergas untuk belajar dan waktu yang ia perlu untuk berehat

   2. Langkah 2: Menetapkan Keutamaan Aktiviti   

Sering kali individu akan mengalami tekanan dalam menentukan keutamaan aktiviti dan pembahagian masa. Individu berkenaan merasakan bahawa terlalu banyak perkara ingin dilakukan dan terlalu sedikit masa yang ada. Dengan kata lain, kita tidak tahu apakah keutamaan yang perlu didahulukan atau dikemudiankan. Perasaan ini menyebabkan kita menjadi buntu, sukar membuat keputusan dan tertekan. Di sini terletak kepentingan untuk kita tahu perkara yang penting dan tidak penting. Serentak itu juga, kita perlu tahu perkara apa yang perlu disegerakan dan tidak segera.

Kuadran 1: Aktiviti Penting Dan Segera

Kebanyakan individu menghabiskan banyak masanya dalam kuadran ini. Kuadran ini umpama aktiviti merawat. Rawatan diperlukan setelah berlakunya penyakit. Apabila datangnya masalah seperti tekanan tarikh akhir, desakan dan krisis barulah kita mula kelam-kabut untuk melaksanakannya. Contoh aktiviti kuadran ini adalah menyiapkan tugasan pada saat-saat akhir sebelum tarikh tamat tiba.

Kuadran 2: Aktiviti Tidak Penting Tetapi Segera

Ramai orang terperangkap dalam aktiviti kuadran ini. Mereka merasakan mereka sentiasa sibuk setiap hari tetapi tiada apa-apa pencapaian dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan mereka. Contoh aktiviti kuadran ini ialah memulangkan buku ke perpustakaan.

Kuadran 3: Aktiviti Penting Tetapi Tidak Segera

Anda mungkin mempunyai niat untuk melakukan aktiviti yang bermakna dalam hidup anda tetapi oleh sebab aktiviti tersebut bersifat tidak segera, anda bertangguh untuk melaksanakannya. Aktiviti dalam kuadran ini seumpama aktiviti mencegah. Contoh aktiviti dalam kuadran ini ialah dengan meningkatkan kemahiran pembelajaran.

Kuadran 4: Aktiviti Tidak Penting Dan Tidak Segera

Menonton televisyen merupakan salah satu contoh yang jelas bagi aktiviti kuadran ini. Aktiviti menonton televisyen bukanlah satu aktiviti yang penting dan tidak mempunyai tempoh yang terhad untuk melakukannya. Anda boleh menonton televisyen pada bila-bila masa. Sebagai contoh, amat malang bagi pelajar yang menghabiskan masa menonton televisyen beberapa bulan sebelum peperiksaan. Sepatutnya pelajar tersebut mengulang kaji pelajaran kerana televisyen boleh ditonton selepas tamat peperiksaan dan pada bila-bila masa sahaja.

Bagi panduan menetapkan keutamaan aktiviti, setiap pelajar dicadangkan  menggunakan konsep ‘jadual bertindak’ dalam mengaplikasikan strategi mengutamakan yang utama. Terdapat beberapa proses yang dicadangkan iaitu:

        i.            Pelajar menyusun segala tugasan dan tanggungjawab mengikut keutamaan. Sebagai contoh, senaraikan kesemua aktiviti anda pada sehelai kertas. Kemudian, aturkan mengikut empat tahap keutamaan yang dicadangkan iaitu: a) penting dan segera, b) tidak penting tetapi segera, c) penting tetapi tidak segera, dan d) tidak penting dan tidak segera.

      ii.            Seterusnya, bertindak menyiapkan tugasan berkenaan mengikut keutamaan paling penting kepada paling tidak penting. Jika anda tidak sempat menghabiskan kerja anda untuk hari tersebut, catatkan aktiviti yang belum dijalankan pada ‘jadual bertindak’ anda untuk tindakan keesokan hari. Ulang perkara yang sama apabila hendak memulakan kerja pada hari esok.

    iii.            Berdisiplin dan hapuskan tabiat ‘tangguh, tunggu dan lihat’. Tabiat ini akan menjadikan anda malas, tidak berdisiplin dan menangguhkan kerja. Amalkan mengingati beberapa slogan peringatan seperti: ‘kelmarin sudah berlalu’, ‘esok masih belum berlalu’, ‘ hari ini peluang masih ada’ dan sebagainya.

    iv.            Jangan membazir masa dan kesempatan. Penuhkan masa lapang anda seperti masa menunggu bas, dalam perjalanan, semasa menunggu giliran di pejabat pos, bank, kedai gunting rambut dan sebagainya untuk melakukan kerja ringan dan mudah seperti membaca nota ringkas, mengingat fakta dan setidak-tidaknya berfikir.

      v.         Tegas dan bijak mengatakan “TIDAK” kepada perkara yang dianggap mengganggu rutin harian keutamaan anda. Merancang jadual pengurusan masa dan belajar anda untuk menyusun keutamaan bertindak secara lebih berkesan. Disiplin adalah kunci kejayaan kepada setiap strategi yang dirancang. Apabila pelajar telah membina jadual bertindak, adalah penting pelajar menghayati  prinsip-prinsip positif. Ini akan meningkatkan disiplin, jati diri dan mematuhi jadual bertindak yang dibina.

  3. Langkah 3: Membina Jadual Pengurusan Masa Dan Belajar

Kemahiran hanya akan dimiliki atas kesedaran dan keperluan. Seperti soalan, “Mengapa kita makan?” Jawapannya kerana kita lapar dan untuk terus hidup kita mesti makan. Begitu juga dengan pengurusan masa. Kita perlu menyoal keperluan kita dahulu sama ada kita perlu atau tidak kepada sistem dan jadual pengurusan masa.

Adakah kita merancang terlebih dahulu aktiviti seharian seperti masa belajar, bermain, menonton televisyen dan sebagainya. Cuba renung soalan-soalan ini sejenak.
  • Adakah saya merancang waktu belajar saya supaya ia mendahului dan/atau selaras dengan pengajaran guru di sekolah?
  • Adakah saya belajar dengan tekun pada waktu lapang bagi mengelakkan kesuntukan masa?
  • Adakah saya memperuntukkan masa yang khusus dalam jadual pengurusan masa untuk mengulang kaji subjek yang lemah, mengulang kaji soalan-soalan peperiksaan dan lain-lain tugasan yang mustahak?
  • Adakah saya mengatur aktiviti-aktiviti peribadi dan sosial saya supaya tidak bercanggah dengan masa belajar?
  •   Adakah saya mengikuti jadual pengurusan masa dan belajar secara berkesan?
Besar kemungkinan kebanyakan jawapan anda adalah ‘tidak’. Jika demikian, anda seharusnya perlu meyakinkan diri betapa pentingnya membina satu jadual waktu yang memenuhi cita rasa belajar anda. Jadual pengurusan masa dan belajar yang baik akan menjamin keserasian dalam mengamalkannya. Oleh yang demikian, beberapa panduan perlu difahami dengan membina jadual pengurusan masa dan belajar yang berkesan iaitu:

a.       Menetapkan matlamat utama jadual pengurusan masa dan belajar.
b.      Menggunakan strategi ‘mengutamakan perkara yang utama’ seperti yang diterangkan dalam langkah kedua tadi.
c.       Analisis aktiviti-aktiviti tetap dan masa yang diperlukan. Antaranya seperti mengulang kaji pelajaran, bermain bola, dan lain-lain.
d.     Rancang masa yang secukupnya untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran. Anda perlu memastikan pelajaran yang memerlukan masa belajar yang banyak dan yang memerlukan masa sedikit.
e.     Masukkan masa rehat atau rekreasi yang mencukupi dalam jadual anda. Biasanya perkara yang anda minat.
f.       Rancang jadual pengurusan masa dan belajar anda di rumah selari atau hampir selari dengan bahan pengajaran guru. Ini akan memudahkan kefahaman serta menyelesaikan tugasan anda kerana pengajaran masih segar dalam ingatan.
g.  Selaraskan dengan kesesuaian cara gaya belajar anda. Setiap pelajar mempunyai gaya belajar tersendiri seperti kaedah pembelajaran, masa paling efektif dan sebagainya.
h.      Peruntukkan masa untuk belajar paling banyak untuk belajar mata pelajaran yang susah dan penting ketika anda paling segar dan cergas.
i.        Rancang masa untuk belajar pelajaran yang sama pada waktu yang sama hari berikutnya. Misalnya, jam 8 hingga 10 malam, hari Isnin hingga Rabu, anda akan belajar Matematik. Dengan ini, anda akan bersedia dari segi mental untuk tumpuan sepenuhnya.
j.      Rancang strategi untuk mendisiplinkan diri anda dalam mengikuti jadual pengurusan masa dan belajar secara berkesan.

Secara keseluruhannya, membina jadual pengurusan masa dan belajar perlu dilakukan secara teliti, bersungguh-sungguh dengan hati yang tulus. Pelajar juga harus melakukan pengorbanan terhadap aktiviti-aktiviti yang tidak penting demi mengutamakan matlamat akademik yang cemerlang.

 4.Langkah 4: Masa, Tempat Dan Kaedah Belajar Bersesuaian

Ada pelajar yang sangat selesa belajar di sekolah. Oleh itu, selepas tamat waktu persekolahan mereka akan menghabiskan waktu di kawasan sekolah untuk belajar bersendirian seperti di perpustakaan, di kelas, di pondok belajar dan sebagainya. Namun begitu, terdapat juga pelajar yang tidak mendapat keselesaan apabila belajar di sekolah, tetapi lebih berkesan belajar dalam suasana rumah. Kadangkala kita melihat juga pelajar yang belajar di perhentian bas semasa menunggu kawan.

Sebenarnya setiap pelajar mempunyai tempat dan masa yang tersendiri untuk keselesaan belajar. Apabila pelajar menjumpai tempat dan masa yang serasi dengannya, itu adalah saat yang paling berharga. Ini sering kali disebut sebagai ‘masa serasi’ dan ‘tempat serasi’. Namun begitu, pelajar tidak boleh terperangkap dalam perkara ini. Ini kerana pelajar bermotivasi dan cemerlang tidak boleh bergantung kepada mana-mana waktu dan tempat serasi untuk belajar, sebaliknya mereka mesti belajar pada setiap waktu, tempat dan keadaan jika ingin berjaya dengan cemerlang.

Paling penting, pelajar bermotivasi dan cemerlang mesti melatih diri untuk menggunakan setiap masa dan tempat sebagai situasi yang berkesan untuk belajar. Ini bermaksud, pelajar perlu mampu merubah keadaan yang tidak selesa kepada keadaan yang selesa untuk proses pembelajaran yang berkesan.

Panduan Tempat, Masa dan Kaedah Pembelajaran yang Bersesuaian
Tempat
Masa atau Ketika
Kaedah pembelajaran yang Sesuai
Di sekolah
Masa persekolahan (waktu dalam kelas)                            
      Menumpukan perhatian sepenuh kepada guru
            Mengambil nota dengan tekun
    Menyoal kepada guru setiap perkara yang tidak      difahami

Masa rehat
          Membaca nota kecil yang dibawa dalam poket

Masa senggang (sebelum guru memasuki kelas atau waktu terluang)
           Membaca dahulu pelajaran yang akan diajar
           Mengulang kaji pelajaran yang diajar oleh guru

Selepas waktu persekolahan
           Meluangkan masa untuk belajar di perpustakaan
Di rumah
Waktu petang, memasuki kelas atau waktu terluang
      Sesuai untuk menyiapkan semua kerja rumah
     Menjawab atau mengulang kaji soalan matematik dan sains

Waktu malam
      Sesuai mengulang kaji pelajaran berdasarkan subjek
      Membuat nota kecil
    Menyiapkan persiapan untuk ke sekolah pada hari berikutnya

Sebelum tidur
   Membaca nota mengingat atau bahan ringan yang menceriakan pemikiran
Di tempat perhentian atau persinggahan
Ketika menunggu bas, di dalam bas, menanti kawan dan lain-lain
           Mengulang kaji nota kecil
      Mengulang kaji hafalan formula
      Mengingat semula fakta yang dihafal

2 comments: