Bintang

salji


Friday 16 November 2012

Lawatan ke Jabatan Psikiatri, PPUKM

Assalamualaikum..entri kali ni Fina nak ceritakan sedikit bagaimana pandangan Fina terhadap isu kesihatan mental kerana sebelum ini Fina pernah mengikuti lawatan ke Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di dalam kursus Psikologi Abnormal. Fina dan rakan-rakan bersama pensyarah iaitu Cik Amelia pergi ke sana pada 17/10/2011. Lawatan ini bertujuan adalah untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai masalah kesihatan mental yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

PANDANGAN AWAL TENTANG ISU KESIHATAN MENTAL

Isu kesihatan mental menjadi salah satu perkara yang membimbangkan masyarakat kita pada hari ini. Mental seseorang yang sihat tidak bermakna akan terlepas daripada sebarang penyakit mental. Hal ini amat penting untuk kita memahami maksud sebanar mental yang sihat.

Menurut Polisi Kesihatan Mental Malaysia, kesihatan mental merujuk kepada keupayaan individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi di antara satu sama lain bagi menjana perasaan sejahtera dan fungsi yang optima dan penggunaan kebolehan kognitif, afektif , emosi dan perhubungan dalam mencapai matlamat individu dan kumpulan yang konsisten dengan keadilan.

Pandangan saya sebelum ini terhadap isu kesihatan mental hanyalah bertumpu kepada masalah mental semata-mata atau dalam erti kata lain iaitu ‘tidak siuman’ dan pesakitnya ditempatkan di Hospital Sakit Jiwa. Selain itu, saya juga berpandangan bahawa penyakit mental ini hanya mempunyai sejenis penyakit sahaja. Pada hakikatnya, masalah ini mempunyai  dan terdiri daripada pelbagai kategori dan jenis penyakit. Contohnya, kemurungan dan schizophrenia.

Seterusnya, sebelum saya didedahkan dengan isu kesihatan mental ini, saya hanya berpendapat bahawa faktor atau punca kepada berlakunya penyakit mental ini disebabkan oleh tekanan dan bebanan yang melampau. Contohnya seperti bebanan hutang dan masalah rumahtangga yang mengganggu fikiran. Sebenarnya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penyakit ini walaupun penyebabnya tidak diketahui dengan tepat.

Selain itu, saya juga beranggapan bahawa seseorang yang menghidap penyakit mental ini tidak akan sembuh dan tidak mampu menjalani kehidupan yang normal seumur hidup. Hal ini disebabkan oleh saya tidak pernah melihat seseorang yang mempunyai penyakit ini berjaya diubati dan sembuh dalam masa yang singkat. Peratus  pesakit mental untuk sembuh hanyalah 10% pada pandangan saya sebelum ini. Tambahan pula, saya juga menyangka pesakit mental semuanya berbahaya dan tidak dapat diajak untuk berbicara dan apabila mereka sembuh, maka mereka tidak mampu melakukan apa-apa.

Di samping itu, saya juga beranggapan bahawa seseorang yang mengalami penyakit ini hanya akan menunjukkan tanda-tanda pada dirinya yang abnormal seperti bercakap sendirian dan ketawa serta sedih dan menangis secara tiba-tiba tanpa sebab. Rupa-rupanya terdapat ujian yang mudah dan  ringkas yang boleh mengesan kewujudan penyakit mental ini.

Pandangan saya sebelum ini masalah abnormal hanya berlaku kepada orang dewasa sahaja tetapi sebenarnya kanak-kanak juga boleh terlibat dengan pelbagai kecelaruan dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, pada akhir-akhir ini banyak kes kecelaruan yang melibatkan remaja kerana masalah tekanan dan stres.

PENGETAHUAN DAN PEMAHAMAN BARU YANG DIPEROLEHI SELEPAS LAWATAN

Selepas mengikuti lawatan ke Jabatan Psikiatri, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, saya telah mendapat pengetahuan dan pemahaman baru yang berguna berkaitan dengan isu kesihatan mental di samping mendalami masalah psikologi abnormal. Pengetahuan dan pemahaman mengenai hal ini amat diperlukan dalam bidang psikiatri dan bimbingan dan kaunseling.

Sebagai kaunselor, dengan memiliki pengetahuan dan pemahaman mengenai selok-belok psikologi abnormal akan berupaya mencegah dan menangani kemungkinan yang akan terjadi pada klien. Saya lebih memahami maksud sebenar psikologi abnormal secara lebih terperinci dan tepat daripada sebelum ini.

Saya telah dapat membezakan maksud psikologi abnormal dan kesihatan mental. Psikologi abnormal ialah salah satu cabang psikologi yang mengkaji bentuk gangguan mental dan jiwa. Manakala penyakit mental pula ialah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Selain itu, saya juga telah mengetahui bahawa penyakit mental mempunyai pelbagai jenis dan kategorinya sama ada ianya serius atau pun tidak. Sebenarnya, apabila kita melihat gejala yang dialami oleh seseorang yang abnormal, maka agak sukar untuk membezakan sama ada ia normal atau abnormal. Pengetahuan baru yang saya perolehi ialah penyakit mental dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti. Antara contoh neurosis ialah kemurungan dan kebimbangan. Psikosis pula seperti schizophrenia dan dipresif. Kecelaruan personaliti pula menyebabkan seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan.

Antara pengetahuan dan pemahaman baru lain yang saya dapat ialah punca kepada berlakunya penyakit ini. Walaupun penyebab sebenar penyakit mental tidak diketahui dengan tepat, namun kajian masih dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar penyakit ini. Antara faktor berlakunya penyakit mental atau tingkah laku abnormal ialah disebabkan faktor genetik atau keturunan, gangguan bahan kimia dalam otak, jangkitan virus, sejarah hidup yang getir dan keadaan sosio-ekonomi yang rendah. Saya juga baru mengetahui bahawa bantuan untuk mendapatkan rawatan kepada masalah ini hanya terdapat di hospital kerajaan sahaja. Terdapat anggota yang telah dilatih untuk memberi rawatan kepada mereka ini dan pakar psikiatri akan dirujuk untuk kes-kes yang rumit.

  Seterusnya, pengetahuan lain yang saya perolehi ialah golongan jantina yang paling banyak mengalami masalah abnormal ialah golongan wanita. Walau bagaimanapun, golongan lelaki dan kanak-kanak juga tidak terlepas daripada masalah ini. Kanak-kanak kebiasaannnya akan mengalami masalah abnormal seperti dyslexia dan hiperaktif.

Di samping itu, terdapat juga ujian yang boleh mengesan kewujudan penyakit mental ini. Mereka yang ingin mengetahui status masalah kesihatan mental boleh mengambil satu ujian yang mudah dan ringkas iaitu Kajiselidik Kesihatan. Ujian ini adalah satu kaedah saringan bagi menilai tahap kesihatan mental seseorang individu.

Pada umumnya sesuatu yang berkaitan dengan abnormal adalah sesuatu perilaku yang akan dihindari oleh oleh masyarakat. Hal ini disebut sebagai stigma terhadap keadaan abnormal. Stigma adalah pelabelan yang boleh menyebabkan seseorang dipandang berbeza daripada orang lain. Hal ini menempatkan seseorang terpisah dan orang lain enggan berhubungan dengannya. Seseorang tidak mungkin akan mahu untuk terlibat dalam keadaan yang dipandang abnormal.

PENGETAHUAN DAN PEMAHAMAN TENTANG ISU KESIHATAN MENTAL DAPAT MEMBANTU DIRI SENDIRI, INDIVIDU SEKELILING DAN PROFESION KAUNSELOR YANG BAKAL DICEBURI KELAK

Diri sendiri
Pengetahuan dan pemahaman tentang isu kesihatan mental dapat membantu diri saya sendiri dari segi mengatasi dan mencegah masalah stess dan tekanan. Saya perlu mengenali diri sendiri untuk mengurus dan mengenali punca tekanan yang dihadapi dengan baik. Dalam meningkatkan kesihatan mental, adalah penting untuk memahami bahawa tekanan psikologi yang dialami berkait rapat dengan kekuatan dan kelemahan diri. Saya juga perlu menyedari bahawa diri mengalami tekanan adalah langkah pertama mengendalikan tekanan. Selain itu, saya boleh mengenalpasti simptom-simptom tekanan dan faktornya supaya saya boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi punca tekanan tersebut.

Saya juga boleh membantu diri saya sendiri dengan mempunyai penilaian diri yang tepat iaitu memahami diri sendiri. Saya boleh berkongsi hal-hal atau masalah yang dihadapi dengan orang yang boleh dipercayai supaya dapat meringankan beban tekanan yang ditanggung. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelak daripada berlakunya masalah abnormal seperti kemurungan dan lain-lain lagi.
Pengetahuan ini juga mampu membantu saya untuk mewujudkan sikap positif dalam diri sendiri dan menerima kenyataan bahawa manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan. Mengamalkan gaya hidup sihat adalah langkah yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan mental yang baik di samping mempelajari kemahiran mengatasi masalah.

Individu sekeliling
Pengetahuan tentang isu kesihatan mental boleh membantu individu sekeliling dengan memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka untuk meringankan beban atau tekanan yang dihadapi. Kerjasama, sokongan moral dan tidak mudah menghukum perlu dipupuk dalam masyarakat khususnya kepada orang sekeliling yang mungkin berhadapan dengan masalah mental.

Selain itu, pengetahuan tentang isu kesihatan mental ini juga boleh membantu individu sekeliling dengan cara menyedarkan mereka mengenai kewujudan institusi kaunseling yang boleh membantu mereka mendengar masalah secara profesional. Meluahkan perasaan kepada kaunselor adalah penyelesaian yang terbaik apabila berhadapan dengan stres.

Walaupun begitu, masyarakat pada hari ini pada hakikatnya mempunyai pandangan yang negatif kepada individu yang mengalami kecelaruan dan terlibat dalam masalah mental. Kita seharusnya menghapuskan stigma tersebut supaya individu yang terlibat dalam masalah ini mempunyai keyakinan diri dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan secara normal. Dorongan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk sembuh.

Profesion kaunselor
Pemahaman mengenai isu kesihatan mental ini juga dapat membantu profesion kaunselor yang bakal diceburi. Kaunselor boleh mengenal pasti dengan mudah tanda-tanda awal seseorang yang berkemungkinan untuk menghadapi masalah abnormal. Peranan kaunselor untuk mendengar dan melayan klien dengan baik adalah langkah dan cara terbaik untuk mengenal pasti masalah ini dalam kalangan klien yang menjalani sesi dengannya.

Kaunselor boleh memainkan peranannya dengan merujuk kes-kes abnormal yang dikesan kepada pakar psikiatri sekiranya mendapati kes tersebut serius. Hal ini dapat membantu individu terbabit daripada terus berkelakuan abnormal.

Selain itu, kaunselor boleh membantu dengan pengetahuan yang ada secara memberi nasihat, sesi, kumpulan sokongan, bimbingan dan kaunseling kepada individu yang terlibat dengan masalah abnormal untuk pulih. Kaedah ini merupakan kaedah bukan perubatan dan hal ini boleh mendorong ke arah perubahan gaya hidup yang lebih sihat dan positif. 







No comments:

Post a Comment