Bintang

salji

Sunday, 11 November 2012

Ciri Seorang Kaunselor


APAKAH CIRI-CIRI PROFESIONAL KAUNSELOR?

Kaunselor mestilah mempunyai ciri-ciri yang profesional dalam mengendalikan kes. Dalam menjalankan kes, proses kaunseling yang berkesan telah dikenalpasti mempunyai kaitan dengan sifat-sifat kaunselor yang memiliki kemahiran-kemahiran kaunseling. Bagi menjadi seorang kaunselor yang professional mestilah menjadi ahli dalam persatuan kaunselor peringkat negeri dan kebangsaan. Perhubungan kaunselor tidak dapat dipisahkan daripada ciri-ciri personaliti kaunselor  yang merupakan gaya dan tahap kefungsian kaunselor iaitu mesra, jujur, menerima tanpa syarat dan berempati.
Mesra
Sifat mesra seorang kaunselor akan dapat dirasakan oleh klien apabila klien menunjukkan tanda-tanda seperti tidak malu untuk bersuara, selesa dan rasa diterima oleh kaunselor. Sifat mesra yang ditunjukkan oleh kaunselor memudahkan klien untuk meluahkan masalah yang dihadapi oleh klien.

Jujur
Kaunselor juga mestilah mempunyai sifat yang jujur dalam perhubungan dengan klien. Antara sifat jujur yang perlu ditonjolkan oleh kaunselor ialah bersifat natural, terbuka, spontan, tidak defensif dan konsisten. Kaunselor juga dapat berkongsi aksi dan reaksi dari segi mental dan emosi dan tidak teragak-agak untuk memberi maklum balas terhadap masalah yang dihadapi oleh klien.


Menerima Tanpa Syarat
Penerimaan tanpa syarat kaunselor terhadap klien bermaksud kaunselor menerima diri klien yang sebenarnya. Tambahan pula, kaunselor perlulah melayan klien sebagai manusia yang bermaruah dan unik walaupun klien datang dengan masalah yang negatif. Kaunselor tidak boleh memandang serong atau berfikiran negatif terhadap kliennya.

Berempati
Kanselor mestilah mempunyai sifat empati dalam setiap masalah yang dihadapi oleh klien tetapi bukannya sifat simpati. Sifat empati menunjukkan kebolehan kaunselor untuk memasuki ruang rujuk atau dunia klien dan turut membenarkan kaunselor mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien.

Kaunselor Sebagai Fasilitator
Menurut Carl Rogers (1957) terdapat beberapa keadaan untuk memperkembangkan diri klien iaitu kongruen yang bermaksud konsisten dan ketulinan dalam hubungan, penerimaan tanpa syarat terhadap klien, pemahaman empati terhadap ruang rujuk klien dan usaha berkomunikasi untuk memahami.

Tambahan pula, kaunselor mestilah mempunyai sifat keterbukaan dalam sesi pehubungan dengan klien. Hal ini demikian kerana ia dapat menggalakkan klien untuk bebas meluahkan pemikiran dan perasaan yang dihadapinya. Kaunselor hanya perlu mendedahkan diri klien dalam mencapai pada tahap kefungsian yang diinginkan. Kaunselor juga mestilah mempunyai kebolehan dalam memperkasakan klien. Hubungan ini dapat diwujudkan dengan berasakan hubungan kepercayaan antara kaunselor dan klien, koloborasi dan berkongsi tenaga dalam sama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunselor juga harus fokus kepada kekuatan dalaman klien dan keyakinan bahawa klien mampu memilih kehidupan yang positif.

Di samping itu, kaunselor bertanggungjawab dalam melahirkan idea, memberikan reaksi atau sokongan selaras dengan kehendak klien. Kaunselor juga mestilah bertingkahlaku secara etika dengan dapat mengimbangi antara kebajikan klien dan harapan sosial. Namun dalam setiap idea yang dicetuskan oleh kaunselor, klien yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan yang telah dipilih olehnya.

Kauselor yang berkesan merupakan seorang individu yang unik dalam profesion menolong orang lain yang menghadapi masalah yang memerlukan bantuan. Individu ini mempunyai kekuatan dan keupayaan dalam menarik perhatian orang lain dalam mempercayainya dan yakin akan dirinya.

Mengikut The Assosiation Of Counselor And Supervision (2007) menjalankan kajian dan mengenalpasti enam ciri yang perlu dimiliki oleh kaunselor. Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
  • Kepercayaan kepada setiap indiviu iaitu kaunselor harus mempercayai dan tidak mempertikaikan atau membantah apa yang diperkatakan oleh klien.
  • Komitmen kepada nilai kemanusiaan iaitu kaunselor mestilah mempunyai sifat kemanusiaan serta menunjukkannya kepada klien. Sifat kemanusiaan ini dapat ditonjolkan melalui sikap mengambil berat terhadap permasalahan yang dihadapi oleh klien serta menumpukan perhatian kepada klien.
  • Kaunselor haruslah memahami dirinya sendiri  dahulu sebelum memahami orang lain ataupun klien. Hal ini pnting untuk memudahkan kaunselor untuk memahami diri orang lain dalam sesi kaunseling.
  •  Kaunselor mestilah komitmen terhadap professional.

           
Manakala menurut Combs el at (1994), telah mengkaji dan memberikan pendapat beliau mengenai sifat yang perlu ada pada  seorang kaunselor dalam menjadi seorang kauselor yang berkesan. Pertama ialah kaunselor yang berkesan akan menganggap orang lain berkeupayaan dalam menyelesaikan masalahnya  sendiri dan boleh menangani masalah yang dihadapi. Tambahan pula, kaunselor menganggap orang lain adalah boleh diharap, mesra dan berguna. Selain itu, mereka juga suka bersama-sama orang lain berbanding bersama objek atau alat.

Kesimpulannya, sifat professional kaunselor banyak mempengaruhi setiap tindak klien dalam sesi. Kaunselor haruslah bijak menggunakan sifat professional yang ada untuk menggalakkan klien agar bertindak aktif dalam sesi kaunseling. Sifat-sifat kaunselor turut mempengaruhi segala tindakan yang akan diambil oleh klien.

No comments:

Post a Comment