DEFINISI
Secara rasionalnya masa bukanlah suat masalah yang
memerlukan kepada suatu pengurusan, yang penting adalah bagaimana seseorang
individu itu mengendalikannya. Masa juga dirujuk sebagai semua tindakan yang
dipatuhi oleh individu bagi memastikan mereka menggunakan masa dengan
sebaiknya. Contohnya dengan penggunaan alat elektroik masa.
Teknik pengurusan masa tidak hanya merujuk kepada
teknik membuat jadual harian sahaja. Jadual harian mungkin hanya sebahagian
kecil daripada Teknik Pengurusan Masa. Secara ringkas, teknik pengurusan masa
merujuk kepada cara menguruskan masa agar anda dapat mencapai matlamat anda.
Dengan teknik pengurusan masa yang berkesan, anda dapat capai banyak perkara
dalam masa yang singkat.
PENGENALAN
Pengurusan masa adalah penting bagi setiap manusia tidak kira dari
peringkat pelajar, pekerja, suri rumah dan golongan-golongan lain dalam
menguruskan 24 jam yang kita ada agar segala aktiviti yang kita lakukan lebih
tersusun dan dapat mencapai matlamatnya dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Untuk menjadi seorang yang bijak dalam menguruskan masa yang ada seseorang itu
perlulah matang dalam membahagikan masanya dan bijak dalam membezakan agenda
atau aktiviti yang penting dan kurang penting. Masa adalah perkara yang tidak
akan berulang semula. Jadi, perancangan yang betul haruslah dilakukan bagi
memastikan pembaziran masa tidak berlaku supaya kita dapat melakukan sesuatu
kerja mengikut perancangan yang dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Pengurusan masa yang betul dapat memudahkan seseorang itu melakukan tugasnya
dengan cara yang sistematik. Dalam konteks yang lebih luas, masa bagi setiap
individu bermula daripada lahirnya ke dunia ini sebagai seorang bayi
sehinggalah ke akhir hayat.
Manusia memerlukan dan melakukan pelbagai kegiatan
dalam kehidupannya. Badan manusia memerlukan tidur dan makan. Otak manusia
perlu rehat dari pemikiran serius dan berat. Untuk keselesaan, manusia juga
perlu membersihkan badannya, pakaian dan menyediakan makanan. Di samping itu,
sebagai makhluk bermasyarakat, manusia perlu mengambil masa bergaul dengan
sahabat handai dan kaum keluarga.
Pelajar tidak boleh lari daripada kegiatan biasa
seseorang manusia. Oleh itu, sekiranya kegiatan kehidupan tidak diseimbangkan
pelajar mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Salah satu
rahsia kejayaan orang yang berpencapaian tinggi adalah pengurusan masa yang
cekap yang membolehkan mereka membuat dan mengambil bahagian dalam pelbagai
kegiatan dengan jayanya.
Oleh kerana minat dan keperluan kepada pelbagai
kegiatan, seseorang itu kadang kala akan menghadapi pertelingkahan mengenai apa
yang hendak dibuat dalam sesuatu waktu. Sebagai contohnya, seorang pelajar
hendak belajar tetapi pada waktu yang sama ingin menonton TV. Keadaan begini
menyebabkan pelajar tersebut serba salah, dan ia akan membazirkan masa untuk
mengambil keputusan. Perencanaan masa mengelakkan dilema begini kerana kegiatan
pada suatu masa itu sudah diputuskan.
KEPENTINGAN MASA
Pelajar bermotivasi dan cemerlang sentiasa membahagi
dan menggunakan masa secara berkesan. Ini kerana mereka sentiasa menghargai
masa. Berharganya masa dapat dihayati dengan memahami sifat-sifat masa seperti
berikut:
- Masa tidak boleh disimpan, dibekukan atau disorok.
- Masa yang berlalu tiada ganti dan tidak akan berulang semula.
- Masa tidak boleh diberi pinjam dan dipinjamkan kepada orang lain.
- Masa yang semakin banyak berlalu, bermaksud semakin sedikit yang tinggal.
- Jika kita fikirkan masa lima tahun akan dating mungkin dirasakan lambat, tetapi apabila telah menempuhinya kita rasakan terlalu cepat dan singkat.
Namun, terdapat juga sebilangan pelajar yang sengaja
membazirkan masa dengan perkara yang tidak bermanfaat atau merosakkan diri
sendiri. Di samping itu, terdapat juga pelajar yang mungkin tidak sedar bahawa
mereka telah membazirkan masa atau gagal menggunakan masa dengan berkesan.
Pembaziran masa boleh berlaku dalam keadaan seperti:
a. Apabila
melakukan perkara yang merosakkan dirinya sendiri atau orang lain. Misalnya
ponteng sekolah. Seseorang yang melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat atau
sia-sia. Misalnya sms yang tidak penting.
b.
Aktiviti yang
dilakukan secara tidak cekap atau menggunakan teknik yang salah. Misalnya membaca
buku sambil tidur.
c. Aktiviti dengan
jumlah masa yang digunakan tidak berkesan secara ekonomi. Misalnya mengambil
masa yang terlalu lama untuk menjawab soalan yang ringkas.
d. Seseorang sering
melakukan aktiviti bermanfaat yang diselang-seli dengan aktiviti yang tidak
bermanfaat. Misalnya belajar sekejap kemudian berhenti untuk menonton televisyen.
Kepentingan masa dan sikap pelajar yang sering dan
mudah alpa dan membazirkan masa, maka adalah penting untuk membina jadual
pengurusan masa dan belajar. Pengurusan masa yang berkesan akan meningkatkan
keberkesanan pembelajaran, cekap dalam pengurusan peribadi dan meningkatkan
motivasi.
BAGAIMANA MENGURUS MASA DAN JADUAL BELAJAR?
Hanya dengan mempelajari pengetahuan, kemahiran dan
teknik pengurusan masa yang betul kita akan mempunyai peluang untuk menggunakan
masa secara berkesan dengan cekap. Membina jadual waktu dengan mengatur aktiviti peribadi dan
pembelajaran, secara sistematik akan membantu seseorang pelajar mempunyai
sistem dan disiplin diri. Walaupun nampak sukar, tetapi ia adalah antara kaedah
terbaik yang perlu dipatuhi dengan tekun untuk membantu anda menggunakan masa
dengan berkesan dan cemerlang. Kaedah mengurus masa dan belajar yang berkesan
perlu melalui empat langkah yang digariskan iaitu:
1. Langkah 1: Menganalisis Aktiviti Dan
Masa Seharian
Setiap manusia hanya diberi anugerah masa sebanyak 24
jam sahaja sehari semalam. Tidak ada manusia yang mendapat lebih daripada itu
walau siapa dia, sama ada perdana menteri, pelajar universiti, polis, guru,
pelajar, peminta sedekah atau perompak. Jumlah masa kita adalah sama. Namun
begitu, kita sering mendengar pelbagai rungutan manusia tentang masa. Antaranya
didengari ialah:
- “Mana masa aku pergi ni…?”
- “Alangkah baiknya kalau saya ada 30 jam sehari”
- “Ahh…tak cukup masa…lah!”
- “Macam mana nak buat nie..masa dah hampir”
- “Hai…lambatnya masa berjalan”
- “Boringlah! Tak tahu nak buat apa masa ni…”
- “Laa…bilalah nak pukul 10 pagi ni! Lambatnya masa berlalu…”
- “Menyesal aku, masa dulu-dulu aku sering lupa dan lalai…”
- “Alangkah baiknya kalau masa itu boleh berputar semula…”
Sebenarnya jika kita bijak merancang masa dengan
aktiviti yang ingin dilakukan, kita tidak akan mengalami masalah kekurangan
masa atau terlebih masa. Ini kerana, dengan teknik, taktik, kebijaksanaan dan
komitmen yang bersungguh-sungguh kita pasti sentiiasa mempunyai aktiviti untuk
dilakukan. Serentak dengan itu juga aktiviti yang dilakukan akan lebih
berkesan, berfaedah dan mendapat pulangan yang bermanfaat secara maksimum.
Panduan Analisis Pembahagian dan Peruntukan Masa
Kendiri
Bil
|
Aktiviti seharian yang dilakukan
|
Jumlah masa diperuntukkan dalam sehari semalam (jam
/ minit)
|
Jumlah masa diperuntukkan dalam seminggu (jam /
minit)
|
1.
|
Membersihkan diri (gosok gigi, mandi dan lain-lain).
|
||
2.
|
Berkemas dan menyiapkan diri (menyiapkan baju,
bersolek, dan lain-lain).
|
||
3.
|
Masa di sekolah dan tuisyen (jika waktu persekolahan
atau tuisyen).
|
||
4.
|
Bercakap ditelefon (berbual, SMS, ).
|
||
5.
|
Masa termenung dan berangan.
|
||
6.
|
Masa untuk beribadat (berwuduk, solat, doa).
|
||
7.
|
Masa mengulangkaji pelajaran di rumah (belajar
sendiri, membuat nota kerja dan keja rumah).
|
||
8.
|
Masa menonton televisyen dan mendengar radio
|
||
9.
|
Melakukan tugas rumah (memasak, basuh baju,dan
sebagainya)
|
||
10.
|
Bermain atau bersukan
|
||
11.
|
Keluar bersantai tanpa arah tuju (berjumpa kawan,
melepak atau bersiar-siar)
|
||
Jumlah masa keseluruhan
|
Membuat Jadual Waktu
- Hapuskan masa-masa yang dibazirkan. Pastikan anda tidak membiarkan sebarang ruang yang dapat mensia-siakan hidup anda sebagai pelajar. Jadikan setiap tempoh waktu dalam hidup anda bererti dan memberi faedah. Tumpukan jadual belajar pada waktu siang kerana kajian menunjukkan produktiviti sejam pada waktu siang menyamai sejam 30 minit pada waktu malam.
- Susun tugasan kerja mengikut keutamaan. Kerja yang tidak begitu penting dikemudiankan. Siapkan yang utama dahulu. Belajar cara menentukan keutamaan dan menyusun jadual tugasan yang cekap dan berkesan.
- Elakkan jadual waktu yang terlalu lengkap. Berikanlah ruang kuasa kepada anda menentukan lebih banyak keputusan yang di luar jangkaan. Berikan lebih banyak kekebasan kepada diri sendiri menyelesaikan urusan harian mengikut kesesuaian. Anda dapat membuat jadual anjal iaitu dengan menetapkan sasaran tertentu dalam sehari. Contohnya, pelajar menetapkan dua jam bagi mengulang kaji dalam sehari. Pelajar juga boleh membuat 50 soalan latih tubi sehari ataupun membuat nota bagi dua topic sehari. Dengan ini, pelajar tidak terkongkong dengan waktu-waktu tertentu, tetapi pelajar tetap mencapai sasaran yang ditetapkan.
- Ketahui tabiat tidur anda. Ia adalah sangat penting. Hampir satu pertiga daripada hidup anda dipenuhi dengan tidur. Apabila anda tidak menyusunnya dengan betul, tidak mustahil ia merugikan anda. Apa yang paling asas sekali ialah memperuntukkan masa untuk tidur. Jangan sesekali biarkan badan anda kepenatan akibat kurang tidur. Tetapi dalam masa yang sama jangan pula terlebih tidur. Ia juga cukup memenatkan. Oleh sebab itu, anda perlu merancag waktu tidur yang baik.
- Lebihkan masa untuk kerja-kerja yang sukar. Apabila ada kerja yang sukar ataupun kerja yang anda tidak biasa, peruntukkan lebih masa daripada jangkaan biasa. Katakan anda menjangka melakukannya dalam masa 30 minit, ada baiknya anda memperuntukkan antara 45 minit hingga satu jam. Kemungkinan anda melakukan kesilapan ataupun kesuntukan masa. Apabila ini berlaku, anda masih mempunyai masa memperbaikinya dan tidak perlu terkejar-kejar melakukan tugasan yang lain.
- Tentukan sistem ganjaran dan denda. Setiap kali anda berpuas hati dengan prestasi anda mematuhi jadual waktu, berikan sedikit ganjaran. Tidak perlu yang mahal-mahal, cukuplah sekadar membelanja diri sendiri makan lebih sedikit daripada biasa. Sebaliknya, apabila anda menunjukkan prestasi yang teruk, hukumlah diri anda. Misalnya dengan melarang diri sendiri daripada menonton rancangan TV kegemaran ataupun tidak boleh bermain bersama kawan-kawan.
- Letakkan jadual di tempat yang mudah dilihat. Jangan sorokkan jadual kebanggaan anda itu. Kebanyakan pelajar malu dan segan apabila orang melihat jadualnya. Kenapa pula? Bukankah ia menunjukkan anda seorang yang tersusun dan terancang? Selain itu, rakan-rakan juga dapat menjadi tenaga pendesak kepada anda bagi mematuhi jadual waktu. Sekiranya tidak, kawan-kawan yang lain memandang rendah kepada anda. Semakin mudah anda melihatnya, semakin kerap anda memandangnya. Semakin kerap anda memandangnya, semakin patuh anda kepadanya.
- Berbaik dengan jadual waktu. Apabila anda mempunyai seorang kawan baik, pasti anda pernah merindui mahu berjumpa dengannya. Bagaimana dengan jadual waktu anda? Sepatutnya anda sentiasa teringat dan merindui jadual anda setiap masa. Tanpanya, tidak teraturlah hidup anda. Bukan begitu?
- Buat semakan dari masa ke semasa. Ada kalanya jadual waktu perlu diubahsuai mengikut komitmen, keutamaan dan peristiwa yang berlaku di sekeliling. Kegagalan mengubahsuai menyebabkan anda sukar mematuhinya. Lama-kelamaan, anda berasa bosan dan menyalahkan jadual waktu. bukan salah jadual waktu sebenarnya, tetapi salah anda yag tidak mengemas kini jadual anda!
Faktor
yang Perlu Diambil Kira dalam Penjadualan
Keutamaan
Setelah mengetahui bagaimana masa digunakan dalam
sehari-hari, pelajar perlu menentukan berapa
lama ia perlu belajar, masa untuk bergaul dan untuk perkara-perkara
lain. Kalau difikirkan dan direnungi dalam-dalam, memanglah banyak perkara yang
ingin kita lakukan tetapi masa dalam sehari hanya ada dua puluh empat jam!
Memang benar kata-kata “masa itu emas”. Seseorang pelajar yang ingin berjaya
mestilah meletakkan masa belajar sebagai suatu keutamaan melebihi kegiatan sosial
atau hiburan. Tetapi keutamaan bukanlah bermakna menghapuskan kegiatan
tersebut. Kegiatan tersebut adalah rempah ratus hidup yang dapat menghindarkan
perasaan bosan di samping mencaskan kembali otak yang letih. Di sinilah peranan
pengurusan masa, di mana seseorang pelajar dapat mengatur dirinya untuk memberi
keutamaan kepada pelajaran di samping mengambil bahagian dalam kegiatan lain.
Rancangan jangka panjang dan pendek
Pengurusan masa yang berkesan untuk tujuan
pembelajaran memerlukan jadual masa jangka panjang dan jadual masa mingguan.
Jadual masa jangka panjang mengambil kira silibus yang
hendak diliputi, masa percutian dan masa persediaan untuk peperiksaan. Dengan
meneliti silibus kita dapat menganggarkan bahan dan buku yang hendak dipelajari
dan dalam sesetengah kes kerja-kerja kursus seperti amali makmal yang perlu
dibuat. Rancangan jangka panjang ini juga menetapkan bilakah persediaan
intensif untuk peperiksaan bermula.
Sebaik-baiknya jadual mingguan dibuat setiap minggu
supaya masa dapat digunakan secara optimum sesuai dengan keperluan pada minggu
berkenaan. Umpamanya pelajar ingin menghadiri sesuatu acara pada waktu yang
biasanya ia mengulang kaji, katakanlah pukul 8.00 hingga 10.00 malam pada dua
malam dalam sesuatu minggu. Ia harus memikirkan sama ada ia perlu menggantikan
masa ulang kaji pada waktu lain ataupun tidak.
Sekiranya jadual mingguan sukar hendak dibuat setiap
minggu, sekurang-kurangnya pelajar mestilah mengubah jadual mengikut musim dan
keadaan pelbagai fasa rancangan jangka panjang. Umpamanya dalam fasa awal, masa
ulang kaji jadual mingguan tidak patut sama dengan masa jadual dalam fasa
persediaan untuk peperiksaan.
Jadual masa yang boleh diamalkan
Sekiranya sesuatu perencanaan penggunaan masa itu
sukar atau mustahil hendak dilaksanakan maka rancangan akan pelajar sentiasa
mengubah cara ia menjalankan kegiatannya. Sebagai contohnya, jika waktu untuk
makan dijadualkan selama 15 minit tetapi sebenarnya masa yang diperlukan adalah
30 minit, maka kegiatan selepas makan seperti berehat dan sebagainya akan
terjejas. Pelajar tersebut akan mengubah atau membatalkan jadual kegiatan
berikutnya. Jika perubahan sentiasa dibuat, disiplin untuk mematuhi rancangan
tadi akan luntur dan lambat laun rancangan tadi tidak dapat diikuti lagi.
Masa tidur
Masalah rancangan masa yang terdapat di sesetengah
kalangan pelajar ialah jadual masa tidur yang tidak sesuai. Ada pelajar yang
gemar belajar hingga larut malam dan kemudiannya bangun lewat hinggakan tidak
dapat hadir ke kelas atau kuliah. Perencanaan masa yang realistik mestilah
memastikan supaya kelas atau kuliah serta kelas makmal dan bimbingan dapat
diikuti. Sekiranya anda ada masalah ini, sesuaikan masa tidur anda dengan
secara perlahan-lahan, yakni awalkan masa tidur anda peringkat demi peringkat
hingga sampai ke tahap yang sesuai.
Pembaziran masa
Banyak pelajar mempunyai jadual masa tetapi malangnya
mendapati jadual tersebut tidak digunakan. Walaupun mereka bermula dengan niat
baik mereka idak dapat mematuhi jadual tersebut. Salah satu sebabnya ialah kerana
pembaziran masa.
Satu contoh yang dikatakan pembaziran masa adalah
seperti berikut: seorang pelajar yang mengikut jadual beliau sepatutnya
mengkaji mata pelajaran Sains Bahan antara pukul 8 hingga 10 malam. Semasa
mengkaji nota kuliah Sains Bahan beliau mendapati ada tulisan beliau yang tidak
dapat dibacanya. Oleh itu beliau memutuskan untuk bertanya kepada rakan
sekursusnya yang kebetulannya jiran bilik beliau. Semasa ia masuk ke bilik
kawannya beliau mendapati ada perbincangan yang menarik mengenai perlawanan
bola sepak maka ia pun masuk campur berbincang. Setelah beberapa lama ia pun
ingat yang sepatutnya ia membaca nota kuliah. Semasa perjalanan pulang ia
teringat yang ada rancangan televisyen yang menarik pada waktu itu. Dengan
bantuan bisikan hatinya, maka ia percaya yang beliau boleh membaca nota kuliah
sambil menonton televisyen. Begitulah pembaziran masa berlaku hinggakan pukul
10.00 malam satu helai nota pun tidak habis dibaca.
Pembaziran masa merupakan batu penghalang kepada
pembelajaran yang berkesan. Sekiranya anda mempunyai masalah ini selesaikanlah
dengan berhati-hati dan beransur-ansur. Pembaziran masa boleh dihapuskan dengan
amalan dan keazaman.
.
Rancangan masa yang realistik dan dipatuhi dengan
penuh disiplin dapat membantu bukan sahaja pelajaran tetapi semua manusia untuk
melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan dengan cara teratur.
Mengoptimumkan perencanaan
Sudah menjadi lumrah manusia yang kecergasan otaknya
turun dan naik setiap hari. Pada waktu hampir tidur, manusia akan rasa mengantuk
jika ia menjalankan kegiatan yang membosankan. Oleh itu, semasa membuat jadual
perancangan masa, pelajar perlu mengambil kira waktu yang otaknya cergas untuk
belajar dan waktu yang ia perlu untuk berehat
2. Langkah 2: Menetapkan Keutamaan
Aktiviti
Sering kali individu akan mengalami tekanan dalam
menentukan keutamaan aktiviti dan pembahagian masa. Individu berkenaan
merasakan bahawa terlalu banyak perkara ingin dilakukan dan terlalu sedikit
masa yang ada. Dengan kata lain, kita tidak tahu apakah keutamaan yang perlu
didahulukan atau dikemudiankan. Perasaan ini menyebabkan kita menjadi buntu,
sukar membuat keputusan dan tertekan. Di sini terletak kepentingan untuk kita
tahu perkara yang penting dan tidak penting. Serentak itu juga, kita perlu tahu
perkara apa yang perlu disegerakan dan tidak segera.
Kuadran 1:
Aktiviti Penting Dan Segera
Kebanyakan individu menghabiskan banyak masanya dalam
kuadran ini. Kuadran ini umpama aktiviti merawat. Rawatan diperlukan setelah
berlakunya penyakit. Apabila datangnya masalah seperti tekanan tarikh akhir,
desakan dan krisis barulah kita mula kelam-kabut untuk melaksanakannya. Contoh
aktiviti kuadran ini adalah menyiapkan tugasan pada saat-saat akhir sebelum
tarikh tamat tiba.
Kuadran 2:
Aktiviti Tidak Penting Tetapi Segera
Ramai orang terperangkap dalam aktiviti kuadran ini.
Mereka merasakan mereka sentiasa sibuk setiap hari tetapi tiada apa-apa
pencapaian dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan mereka. Contoh aktiviti
kuadran ini ialah memulangkan buku ke perpustakaan.
Kuadran 3:
Aktiviti Penting Tetapi Tidak Segera
Anda mungkin mempunyai niat untuk melakukan aktiviti
yang bermakna dalam hidup anda tetapi oleh sebab aktiviti tersebut bersifat
tidak segera, anda bertangguh untuk melaksanakannya. Aktiviti dalam kuadran ini
seumpama aktiviti mencegah. Contoh aktiviti dalam kuadran ini ialah dengan
meningkatkan kemahiran pembelajaran.
Kuadran 4:
Aktiviti Tidak Penting Dan Tidak Segera
Menonton televisyen merupakan salah satu contoh yang
jelas bagi aktiviti kuadran ini. Aktiviti menonton televisyen bukanlah satu
aktiviti yang penting dan tidak mempunyai tempoh yang terhad untuk
melakukannya. Anda boleh menonton televisyen pada bila-bila masa. Sebagai
contoh, amat malang bagi pelajar yang menghabiskan masa menonton televisyen
beberapa bulan sebelum peperiksaan. Sepatutnya pelajar tersebut mengulang kaji
pelajaran kerana televisyen boleh ditonton selepas tamat peperiksaan dan pada bila-bila
masa sahaja.
Bagi panduan menetapkan keutamaan aktiviti, setiap
pelajar dicadangkan menggunakan konsep
‘jadual bertindak’ dalam mengaplikasikan strategi mengutamakan yang utama.
Terdapat beberapa proses yang dicadangkan iaitu:
i.
Pelajar menyusun
segala tugasan dan tanggungjawab mengikut keutamaan. Sebagai contoh, senaraikan
kesemua aktiviti anda pada sehelai kertas. Kemudian, aturkan mengikut empat
tahap keutamaan yang dicadangkan iaitu: a) penting dan segera, b) tidak penting
tetapi segera, c) penting tetapi tidak segera, dan d) tidak penting dan tidak
segera.
ii.
Seterusnya,
bertindak menyiapkan tugasan berkenaan mengikut keutamaan paling penting kepada
paling tidak penting. Jika anda tidak sempat menghabiskan kerja anda untuk hari
tersebut, catatkan aktiviti yang belum dijalankan pada ‘jadual bertindak’ anda
untuk tindakan keesokan hari. Ulang perkara yang sama apabila hendak memulakan
kerja pada hari esok.
iii.
Berdisiplin dan
hapuskan tabiat ‘tangguh, tunggu dan lihat’. Tabiat ini akan menjadikan anda malas,
tidak berdisiplin dan menangguhkan kerja. Amalkan mengingati beberapa slogan
peringatan seperti: ‘kelmarin sudah berlalu’, ‘esok masih belum berlalu’, ‘
hari ini peluang masih ada’ dan sebagainya.
iv.
Jangan membazir
masa dan kesempatan. Penuhkan masa lapang anda seperti masa menunggu bas, dalam
perjalanan, semasa menunggu giliran di pejabat pos, bank, kedai gunting rambut
dan sebagainya untuk melakukan kerja ringan dan mudah seperti membaca nota
ringkas, mengingat fakta dan setidak-tidaknya berfikir.
v. Tegas dan bijak
mengatakan “TIDAK” kepada perkara yang dianggap mengganggu rutin harian
keutamaan anda. Merancang jadual
pengurusan masa dan belajar anda untuk menyusun keutamaan bertindak secara
lebih berkesan. Disiplin adalah kunci kejayaan kepada setiap strategi
yang dirancang. Apabila pelajar telah membina jadual bertindak, adalah penting
pelajar menghayati prinsip-prinsip
positif. Ini akan meningkatkan disiplin, jati diri dan mematuhi jadual
bertindak yang dibina.
3. Langkah 3: Membina Jadual Pengurusan
Masa Dan Belajar
Kemahiran hanya akan
dimiliki atas kesedaran dan keperluan. Seperti soalan, “Mengapa kita makan?”
Jawapannya kerana kita lapar dan untuk terus hidup kita mesti makan. Begitu
juga dengan pengurusan masa. Kita perlu menyoal keperluan kita dahulu sama ada
kita perlu atau tidak kepada sistem dan jadual pengurusan masa.
Adakah kita merancang
terlebih dahulu aktiviti seharian seperti masa belajar, bermain, menonton
televisyen dan sebagainya. Cuba renung soalan-soalan ini sejenak.
- Adakah saya merancang waktu belajar saya supaya ia mendahului dan/atau selaras dengan pengajaran guru di sekolah?
- Adakah saya belajar dengan tekun pada waktu lapang bagi mengelakkan kesuntukan masa?
- Adakah saya memperuntukkan masa yang khusus dalam jadual pengurusan masa untuk mengulang kaji subjek yang lemah, mengulang kaji soalan-soalan peperiksaan dan lain-lain tugasan yang mustahak?
- Adakah saya mengatur aktiviti-aktiviti peribadi dan sosial saya supaya tidak bercanggah dengan masa belajar?
- Adakah saya mengikuti jadual pengurusan masa dan belajar secara berkesan?
Besar kemungkinan kebanyakan
jawapan anda adalah ‘tidak’. Jika demikian, anda seharusnya perlu meyakinkan
diri betapa pentingnya membina satu jadual waktu yang memenuhi cita rasa
belajar anda. Jadual pengurusan masa dan
belajar yang baik akan menjamin keserasian dalam mengamalkannya. Oleh yang
demikian, beberapa panduan perlu difahami dengan membina jadual pengurusan masa
dan belajar yang berkesan iaitu:
a.
Menetapkan matlamat utama jadual pengurusan masa dan belajar.
b.
Menggunakan strategi ‘mengutamakan perkara yang utama’ seperti yang
diterangkan dalam langkah kedua tadi.
c.
Analisis aktiviti-aktiviti tetap dan masa yang diperlukan. Antaranya
seperti mengulang kaji pelajaran, bermain bola, dan lain-lain.
d. Rancang masa yang secukupnya untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran.
Anda perlu memastikan pelajaran yang memerlukan masa belajar yang banyak dan
yang memerlukan masa sedikit.
e. Masukkan masa rehat atau rekreasi yang mencukupi dalam jadual anda.
Biasanya perkara yang anda minat.
f.
Rancang jadual pengurusan masa dan belajar anda di rumah selari atau
hampir selari dengan bahan pengajaran guru. Ini akan memudahkan kefahaman serta
menyelesaikan tugasan anda kerana pengajaran masih segar dalam ingatan.
g. Selaraskan dengan kesesuaian cara gaya belajar anda. Setiap pelajar
mempunyai gaya belajar tersendiri seperti kaedah pembelajaran, masa paling
efektif dan sebagainya.
h.
Peruntukkan masa untuk belajar paling banyak untuk belajar mata pelajaran
yang susah dan penting ketika anda paling segar dan cergas.
i.
Rancang masa untuk belajar pelajaran yang sama pada waktu yang sama hari
berikutnya. Misalnya, jam 8 hingga 10 malam, hari Isnin hingga Rabu, anda akan
belajar Matematik. Dengan ini, anda akan bersedia dari segi mental untuk
tumpuan sepenuhnya.
j. Rancang strategi untuk mendisiplinkan diri anda dalam mengikuti jadual
pengurusan masa dan belajar secara berkesan.
Secara keseluruhannya,
membina jadual pengurusan masa dan belajar perlu dilakukan secara teliti,
bersungguh-sungguh dengan hati yang tulus. Pelajar juga harus melakukan
pengorbanan terhadap aktiviti-aktiviti yang tidak penting demi mengutamakan matlamat
akademik yang cemerlang.
4.Langkah 4: Masa, Tempat Dan Kaedah
Belajar Bersesuaian
Ada pelajar yang sangat
selesa belajar di sekolah. Oleh itu, selepas tamat waktu persekolahan mereka
akan menghabiskan waktu di kawasan sekolah untuk belajar bersendirian seperti
di perpustakaan, di kelas, di pondok belajar dan sebagainya. Namun begitu,
terdapat juga pelajar yang tidak mendapat keselesaan apabila belajar di
sekolah, tetapi lebih berkesan belajar dalam suasana rumah. Kadangkala kita
melihat juga pelajar yang belajar di perhentian bas semasa menunggu kawan.
Sebenarnya setiap pelajar
mempunyai tempat dan masa yang tersendiri untuk keselesaan belajar. Apabila
pelajar menjumpai tempat dan masa yang serasi dengannya, itu adalah saat yang
paling berharga. Ini sering kali disebut sebagai ‘masa serasi’ dan ‘tempat
serasi’. Namun begitu, pelajar tidak boleh terperangkap dalam perkara ini. Ini
kerana pelajar bermotivasi dan cemerlang tidak boleh bergantung kepada
mana-mana waktu dan tempat serasi untuk belajar, sebaliknya mereka mesti
belajar pada setiap waktu, tempat dan keadaan jika ingin berjaya dengan
cemerlang.
Paling penting, pelajar
bermotivasi dan cemerlang mesti melatih diri untuk menggunakan setiap masa dan
tempat sebagai situasi yang berkesan untuk belajar. Ini bermaksud, pelajar
perlu mampu merubah keadaan yang tidak selesa kepada keadaan yang selesa untuk
proses pembelajaran yang berkesan.
Panduan Tempat, Masa dan
Kaedah Pembelajaran yang Bersesuaian
Tempat
|
Masa atau
Ketika
|
Kaedah
pembelajaran yang Sesuai
|
Di sekolah
|
Masa persekolahan (waktu dalam kelas)
|
Menumpukan perhatian sepenuh kepada guru
Mengambil nota dengan tekun
Menyoal kepada guru setiap perkara yang tidak difahami
|
Masa rehat
|
Membaca nota kecil yang dibawa dalam poket
|
|
Masa senggang (sebelum guru memasuki kelas atau waktu terluang)
|
Membaca dahulu pelajaran yang akan diajar
Mengulang kaji pelajaran yang diajar oleh guru
|
|
Selepas waktu persekolahan
|
Meluangkan masa untuk belajar di perpustakaan
|
|
Di rumah
|
Waktu petang, memasuki kelas atau waktu terluang
|
Sesuai untuk menyiapkan semua kerja rumah
Menjawab atau mengulang kaji soalan matematik dan
sains
|
Waktu malam
|
Sesuai mengulang kaji pelajaran berdasarkan subjek
Membuat nota kecil
Menyiapkan persiapan untuk ke sekolah pada hari
berikutnya
|
|
Sebelum tidur
|
Membaca nota mengingat atau bahan ringan yang
menceriakan pemikiran
|
|
Di tempat perhentian atau persinggahan
|
Ketika menunggu bas, di dalam bas, menanti kawan dan lain-lain
|
Mengulang kaji nota kecil
Mengulang kaji hafalan formula
Mengingat semula fakta yang dihafal
|
baik,,,,bgus blog nie,.
ReplyDeleteSangat membantu, tq sharingnya
ReplyDelete