Assalamualaikum..entri
kali ni Fina nak ceritakan sedikit bagaimana pandangan Fina terhadap isu
kesihatan mental kerana sebelum ini Fina pernah mengikuti lawatan ke Jabatan
Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di dalam kursus
Psikologi Abnormal. Fina dan rakan-rakan bersama pensyarah iaitu Cik Amelia
pergi ke sana pada 17/10/2011. Lawatan ini bertujuan adalah untuk mengetahui
dengan lebih lanjut mengenai masalah kesihatan mental yang berlaku dalam
masyarakat kita hari ini.
PANDANGAN AWAL TENTANG ISU KESIHATAN MENTAL
Isu
kesihatan mental menjadi salah satu perkara yang membimbangkan masyarakat kita
pada hari ini. Mental seseorang yang sihat tidak bermakna akan terlepas daripada
sebarang penyakit mental. Hal ini amat penting untuk kita memahami maksud
sebanar mental yang sihat.
Menurut
Polisi Kesihatan Mental Malaysia, kesihatan mental merujuk kepada keupayaan
individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi di antara satu sama lain
bagi menjana perasaan sejahtera dan fungsi yang optima dan penggunaan kebolehan
kognitif, afektif , emosi dan perhubungan dalam mencapai matlamat individu dan
kumpulan yang konsisten dengan keadilan.
Pandangan
saya sebelum ini terhadap isu kesihatan mental hanyalah bertumpu kepada masalah
mental semata-mata atau dalam erti kata lain iaitu ‘tidak siuman’ dan
pesakitnya ditempatkan di Hospital Sakit Jiwa. Selain itu, saya juga
berpandangan bahawa penyakit mental ini hanya mempunyai sejenis penyakit
sahaja. Pada hakikatnya, masalah ini mempunyai
dan terdiri daripada pelbagai kategori dan jenis penyakit. Contohnya,
kemurungan dan schizophrenia.
Seterusnya,
sebelum saya didedahkan dengan isu kesihatan mental ini, saya hanya berpendapat
bahawa faktor atau punca kepada berlakunya penyakit mental ini disebabkan oleh
tekanan dan bebanan yang melampau. Contohnya seperti bebanan hutang dan masalah
rumahtangga yang mengganggu fikiran. Sebenarnya, terdapat beberapa faktor yang
menyumbang kepada penyakit ini walaupun penyebabnya tidak diketahui dengan
tepat.
Selain
itu, saya juga beranggapan bahawa seseorang yang menghidap penyakit mental ini
tidak akan sembuh dan tidak mampu menjalani kehidupan yang normal seumur hidup.
Hal ini disebabkan oleh saya tidak pernah melihat seseorang yang mempunyai
penyakit ini berjaya diubati dan sembuh dalam masa yang singkat. Peratus pesakit mental untuk sembuh hanyalah 10% pada
pandangan saya sebelum ini. Tambahan pula, saya juga menyangka pesakit mental
semuanya berbahaya dan tidak dapat diajak untuk berbicara dan apabila mereka
sembuh, maka mereka tidak mampu melakukan apa-apa.
Di
samping itu, saya juga beranggapan bahawa seseorang yang mengalami penyakit ini
hanya akan menunjukkan tanda-tanda pada dirinya yang abnormal seperti bercakap
sendirian dan ketawa serta sedih dan menangis secara tiba-tiba tanpa sebab.
Rupa-rupanya terdapat ujian yang mudah dan
ringkas yang boleh mengesan kewujudan penyakit mental ini.
Pandangan
saya sebelum ini masalah abnormal hanya berlaku kepada orang dewasa sahaja
tetapi sebenarnya kanak-kanak juga boleh terlibat dengan pelbagai kecelaruan
dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, pada akhir-akhir ini banyak kes
kecelaruan yang melibatkan remaja kerana masalah tekanan dan stres.
PENGETAHUAN DAN PEMAHAMAN BARU YANG DIPEROLEHI
SELEPAS LAWATAN
Selepas
mengikuti lawatan ke Jabatan Psikiatri, Hospital Universiti Kebangsaan
Malaysia, saya telah mendapat pengetahuan dan pemahaman baru yang berguna
berkaitan dengan isu kesihatan mental di samping mendalami masalah psikologi
abnormal. Pengetahuan dan pemahaman mengenai hal ini amat diperlukan dalam
bidang psikiatri dan bimbingan dan kaunseling.
Sebagai
kaunselor, dengan memiliki pengetahuan dan pemahaman mengenai selok-belok
psikologi abnormal akan berupaya mencegah dan menangani kemungkinan yang akan
terjadi pada klien. Saya lebih memahami maksud sebenar psikologi abnormal
secara lebih terperinci dan tepat daripada sebelum ini.
Saya
telah dapat membezakan maksud psikologi abnormal dan kesihatan mental. Psikologi
abnormal ialah salah satu cabang psikologi yang mengkaji bentuk gangguan mental
dan jiwa. Manakala penyakit mental pula ialah penyakit yang melibatkan gangguan
pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran,
perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani
aktiviti seharian dengan baik.
Selain
itu, saya juga telah mengetahui bahawa penyakit mental mempunyai pelbagai jenis
dan kategorinya sama ada ianya serius atau pun tidak. Sebenarnya, apabila kita
melihat gejala yang dialami oleh seseorang yang abnormal, maka agak sukar untuk
membezakan sama ada ia normal atau abnormal. Pengetahuan baru yang saya
perolehi ialah penyakit mental dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu
neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti. Antara contoh neurosis ialah
kemurungan dan kebimbangan. Psikosis pula seperti schizophrenia dan dipresif.
Kecelaruan personaliti pula menyebabkan seseorang itu mengalami kecacatan
perwatakan.
Antara
pengetahuan dan pemahaman baru lain yang saya dapat ialah punca kepada
berlakunya penyakit ini. Walaupun penyebab sebenar penyakit mental tidak
diketahui dengan tepat, namun kajian masih dijalankan untuk mengenalpasti punca
sebenar penyakit ini. Antara faktor berlakunya penyakit mental atau tingkah
laku abnormal ialah disebabkan faktor genetik atau keturunan, gangguan bahan
kimia dalam otak, jangkitan virus, sejarah hidup yang getir dan keadaan
sosio-ekonomi yang rendah. Saya juga baru mengetahui bahawa bantuan untuk
mendapatkan rawatan kepada masalah ini hanya terdapat di hospital kerajaan
sahaja. Terdapat anggota yang telah dilatih untuk memberi rawatan kepada mereka
ini dan pakar psikiatri akan dirujuk untuk kes-kes yang rumit.
Seterusnya, pengetahuan lain yang saya
perolehi ialah golongan jantina yang paling banyak mengalami masalah abnormal
ialah golongan wanita. Walau bagaimanapun, golongan lelaki dan kanak-kanak juga
tidak terlepas daripada masalah ini. Kanak-kanak kebiasaannnya akan mengalami
masalah abnormal seperti dyslexia dan hiperaktif.
Di
samping itu, terdapat juga ujian yang boleh mengesan kewujudan penyakit mental
ini. Mereka yang ingin mengetahui status masalah kesihatan mental boleh
mengambil satu ujian yang mudah dan ringkas iaitu Kajiselidik Kesihatan. Ujian
ini adalah satu kaedah saringan bagi menilai tahap kesihatan mental seseorang
individu.
Pada
umumnya sesuatu yang berkaitan dengan abnormal adalah sesuatu perilaku yang
akan dihindari oleh oleh masyarakat. Hal ini disebut sebagai stigma terhadap
keadaan abnormal. Stigma adalah pelabelan yang boleh menyebabkan seseorang
dipandang berbeza daripada orang lain. Hal ini menempatkan seseorang terpisah
dan orang lain enggan berhubungan dengannya. Seseorang tidak mungkin akan mahu
untuk terlibat dalam keadaan yang dipandang abnormal.
PENGETAHUAN DAN PEMAHAMAN TENTANG ISU KESIHATAN
MENTAL DAPAT MEMBANTU DIRI SENDIRI, INDIVIDU SEKELILING DAN PROFESION KAUNSELOR
YANG BAKAL DICEBURI KELAK
Diri sendiri
Pengetahuan
dan pemahaman tentang isu kesihatan mental dapat membantu diri saya sendiri
dari segi mengatasi dan mencegah masalah stess dan tekanan. Saya perlu
mengenali diri sendiri untuk mengurus dan mengenali punca tekanan yang dihadapi
dengan baik. Dalam meningkatkan kesihatan mental, adalah penting untuk memahami
bahawa tekanan psikologi yang dialami berkait rapat dengan kekuatan dan
kelemahan diri. Saya juga perlu menyedari bahawa diri mengalami tekanan adalah
langkah pertama mengendalikan tekanan. Selain itu, saya boleh mengenalpasti
simptom-simptom tekanan dan faktornya supaya saya boleh mengambil tindakan
sewajarnya untuk mengatasi punca tekanan tersebut.
Saya
juga boleh membantu diri saya sendiri dengan mempunyai penilaian diri yang
tepat iaitu memahami diri sendiri. Saya boleh berkongsi hal-hal atau masalah
yang dihadapi dengan orang yang boleh dipercayai supaya dapat meringankan beban
tekanan yang ditanggung. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelak daripada
berlakunya masalah abnormal seperti kemurungan dan lain-lain lagi.
Pengetahuan
ini juga mampu membantu saya untuk mewujudkan sikap positif dalam diri sendiri
dan menerima kenyataan bahawa manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan.
Mengamalkan gaya hidup sihat adalah langkah yang terbaik untuk mengekalkan
kesihatan mental yang baik di samping mempelajari kemahiran mengatasi masalah.
Individu sekeliling
Pengetahuan
tentang isu kesihatan mental boleh membantu individu sekeliling dengan memberi
sokongan moral dan semangat kepada mereka untuk meringankan beban atau tekanan
yang dihadapi. Kerjasama, sokongan moral dan tidak mudah menghukum perlu
dipupuk dalam masyarakat khususnya kepada orang sekeliling yang mungkin
berhadapan dengan masalah mental.
Selain
itu, pengetahuan tentang isu kesihatan mental ini juga boleh membantu individu
sekeliling dengan cara menyedarkan mereka mengenai kewujudan institusi
kaunseling yang boleh membantu mereka mendengar masalah secara profesional.
Meluahkan perasaan kepada kaunselor adalah penyelesaian yang terbaik apabila
berhadapan dengan stres.
Walaupun
begitu, masyarakat pada hari ini pada hakikatnya mempunyai pandangan yang
negatif kepada individu yang mengalami kecelaruan dan terlibat dalam masalah
mental. Kita seharusnya menghapuskan stigma tersebut supaya individu yang
terlibat dalam masalah ini mempunyai keyakinan diri dan bersemangat untuk
meneruskan kehidupan secara normal. Dorongan ini sedikit sebanyak dapat
membantu mereka untuk sembuh.
Profesion kaunselor
Pemahaman
mengenai isu kesihatan mental ini juga dapat membantu profesion kaunselor yang
bakal diceburi. Kaunselor boleh mengenal pasti dengan mudah tanda-tanda awal
seseorang yang berkemungkinan untuk menghadapi masalah abnormal. Peranan
kaunselor untuk mendengar dan melayan klien dengan baik adalah langkah dan cara
terbaik untuk mengenal pasti masalah ini dalam kalangan klien yang menjalani
sesi dengannya.
Kaunselor
boleh memainkan peranannya dengan merujuk kes-kes abnormal yang dikesan kepada
pakar psikiatri sekiranya mendapati kes tersebut serius. Hal ini dapat membantu
individu terbabit daripada terus berkelakuan abnormal.
Selain
itu, kaunselor boleh membantu dengan pengetahuan yang ada secara memberi
nasihat, sesi, kumpulan sokongan, bimbingan dan kaunseling kepada individu yang
terlibat dengan masalah abnormal untuk pulih. Kaedah ini merupakan kaedah bukan
perubatan dan hal ini boleh mendorong ke arah perubahan gaya hidup yang lebih
sihat dan positif.
No comments:
Post a Comment