Bintang

salji


Tuesday 30 October 2012

Sejarah Kaunseling di Malaysia


PENGENALAN

Bimbingan dan kaunseling mempunyai sejarah yang aktif di Malaysia. Sejarahnya dapat dilihat melalui beberapa dasar kerajaan, permulaan kursus-kursus latihan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan kini dikenali sebagai Kementerian Pelajaran dan kebelakangan ini melalui perkembangan program-program ijazah, diploma, dan sijil untuk guru-guru bimbingan dan para kaunselor. Melalui proses perkembangan ini, beberapa artikel telah ditulis dalam beberapa jurnal. Artikel-artikel ini dapat memberi suatu pandangan tentang bimbingan dan juga menjadi petanda dalam proses perkembangan tersebut.

Tetapi, malangnya, jurnal-jurnal ini tidak dapat diedar dengan meluas. Pada umumnya beberapa terbitan yang awal tidak boleh diperoleh di perpustakaan universiti tempatan. Dengan itu, segala usaha penulis-penulis yang awal ini khasnya tidak lagi mendapat perhatian yang wajar pada masa ini.

Pada tahun-tahun awal sejarah pergerakan bimbingan di Malaysia, hanya sebilangan kecil individu yang telah menulis tentang bimbingan untuk pembaca yang juga kecil bilangannya.

Pada masa ini melalui proses perhubungan secara persendirian dan dengan berkongsi kertas kerja sahaja sudah mencukupi untuk menyedarkan mereka yang terlibat tentang penulisan yang baru diterbitkan berhubung dengan profesion ini. Pada tahun 1980-an keadaan ini telah berubah. Terdapat sebilangan besar guru bimbingan ditempatkan di sekolah-sekolah dan bilangan yang dilatih mengikuti program ijazah dan diploma sepenuh masa di universiti tempatan juga semakin bertambah. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa program di Maktab Perguruan Ilmu Khas yang melatih sebilangan besar guru bimbingan.

Setiap rancangan pendidikan seharusnya beropersi dengan andaian bahawa setiap penuntut mestilah berusaha untuk mencapai perkembangan peribadi yang maksimum. Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah perkhidmatan pendidikan mestilah mengiktiraf matlamat-matlamat peribadi setiap penuntut dan menolong mereka membuat rumusan dengan jelas dan realistik.

Roeber, Smith dan Erickson (1955) telah menyenaraikan beberapa hak penuntut seperti berikut; setiap penuntut mempunyai hak untuk menggunakan penerangan yang tepat mengenai diri dan alam sekelilingnya, merencanakan aktivitinya di dalam suasana yang tidak bersifat kuku besi, mendapat perhatian individu dalam merancang matlamat-matlamat sendiri dan mendapat bantuan yang tersusun bagi mencapai matlamat-matlamat tersebut.

Dalam usaha memenuhi hak-hak penuntut seperti yang dinyatakan, mereka yang terlibat mungkin akan menghadapi beberapa masalah dan halangan. Perkhidmatan bimbingan yang merupakan aktiviti yang tersusun akan menolong penuntut meneliti, menilai dan memilih matlamat peribadi yang realistik serta memastikan matlamat-matlamat yang sangat-sangat mereka perlukan.


SEJARAH AWAL PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Apabila membincangkan sejarah bimbingan dan kaunseling di Malaysia, kita tidak dapat lari daripada melihat sejarah perkembangannya di Amerika. Konsep bimbingan dan kaunseling yang digunakan di Malaysia adalah berasaskan kepada pengalaman Amerika, walaupun pada peringkat awal ia dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku di England.

Sejarah kaunseling di Amerika bermula pada 1890-an, apabila Jesse B.Davis yang dikenali sebagai kaunselor menjalankan aktiviti membantu pelajar-pelajar dalam bimbingan, pendidikan dan vokasional di sebuah sekolah di Detroit pada 1898. Kesedaran terhadap pengajaran yang dilaksanakan mengikut kesesuaian individu dan perlunya personelia yang pakar tentang aspek pelajar pernah dibangkitkan oleh William R.Harper dari Universiti Chicago dalam ucapan 'Scientific Study of The Student'. Pada 1906 sebuah buku yang popular berjudul Choosing a Career yang dihasilkan oleh Eli Weaver. Usaha ini kemudian disambung oleh Frank Parson yang menubuhkan Biro Vokasional di Boston pada 1909 dan menulis panduan dan cara membimbing. Pendekatan yang digunakan serta model ujian yang dibinanya menjadikan beliau dikenali sebagai 'Bapa Kaunseling Kerjaya'.

Selanjutnya satu persidangan bimbingan yang pertama diadakan pada 1910 di Boston. Pada tahun yang sama William Healy menubuhkan sebuah Institut Juvana Psikopatik, iaitu satu-satunya klinik bimbingan yang sistematik. Kemuncaknya berlaku pada tahun 1911 apabila Universiti Harvard mula menawarkan kursus bimbingan. Kursus ini terus berkembang apabila bandar Grand Rapids Michigan menubuhkan Jabatan Bimbingan dalam sistem persekolahannya pada 1912. Perkembangan ini menjadi asas kepada penubuhan Persatuan Kebangsaan Bimbingan Vokasional pada 1913.

Sistem pendidikan, perkhidmatan bimbingan dan maklumat pekerjaan telah ditubuhkan di Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat pada 1938. Setahun selepas itu Kamus Nama-nama Pekerjaan (Dictionary of Occupational Titles-DOT) diterbitkan. Perkhidmatan Vokasional diperuntukkan bantuan oleh kerajaan pusat melalui Akta George-Bardin pada 1946.

Selepas 1960-an bidang ini mengalami perkembangan yang pesat dan tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Aspek peranan kaunselor dan isu akauntabiliti mendapat perhatian. Ini diikuti dengan perkembangan dalam penggunaan kelompok, penggunaan komputer bagi maklumat kerjaya, dan teknik khusus mengubahsuai tingkah laku yang menjadi tumpuan kini.

Perkembangan seterusnya dipengaruhi oleh beberapa orang tokoh psikologi dan kerjaya yang mengemukakan beberapa teori. Antara mereka ialah Holland (1973), Super, Roe (Osiepow 1983) yang turut membangunkan model bimbingan kerjaya (Shertzer & Stone 1992). Di samping itu, mereka yang menjadi pelopor dalam bidang kaunseling seperti Sigmund Freud, Carl Rogers, B.R Skinner, dan Corsini, (1984) yang turut menyumbangkan dan memberi impak yang besar dalam perkembangan amalan perkhidmatan turut membantu. Hari ini model yang diperkenalkan oleh tokoh kaunseling diamalkan atau sekurang-kurangnya menjadi bahan perdebatan dalam kalangan ahli akademik dan pengamal bimbingan dan kaunseling di dunia.

PERKEMBANGAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING DI MALAYSIA

Perkembangan bimbingan dan kaunseling di Malaysia, khususnya di sekolah secara rasminya bermula dengan program bimbingan kerjaya yang diperkenalkan pada tahun enam puluhan apabila konsep Guru Panduan Kerjaya mula diperkenalkan dalam sistem persekolahan di Malaysia. Bagaimanapun, maklumat yang berkaitan dengan kerjaya untuk panduan ibu bapa wujud sejak tahun 1930-an lagi, iaitu apabila pihak Jabatan Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menerbitkan sebuah buku berjudul A Guide to Career in Malaya for Parents, Teachers, and Pupils. Pada 1959, iaitu dua tahun selepas merdeka, kerajaan baru Tanah Melayu di bawah Kementerian Buruh telah menyediakan perkhidmatan pekerjaan belia di Pejabat Buruh Negeri. Usaha-usaha awal ini lebih menjurus kepada bimbingan terhadap kerjaya (Amla 1984).

Pihak Kementerian Pendidikan (Pelajaran ketika itu) mula menunjukkan minat dalam bidang bimbingan juga bermula dengan program bimbingan kerjaya yang dikenali sebagai panduan kerjaya. Minat yang ditunjukkan oleh pihak Kementerian Pendidikan bermula pada awal 1960, apabila pihaknya mengeluarkan pekeliling berkaitan kepentingan vokasional dan keperluan kepada guru kerjaya yang ditempatkan di sekolah-sekolah. Pada tahun berikutnya sebuah Jawatankuasa Penyelarasan Bimbingan Vokasional (Vocational Guidance Coordinating committee) ditubuhkan dan sebuah buku panduan diterbitkan dengan judul Handbook on Training Facilities in the Federation of Malaya, diikuti penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menyelaras bimbingan vokasional yang diberi nama 'Vocational Guidance Coordinating committee' (Suradi 1996).

Usaha yang semakin serius ke arah mewujudkan guru pembimbing yang kemudiannya dikenali sebagai 'guru panduan' adalah hasil daripada perubahan polisi pendidikan Malaysia (Tanah Melayu) yang meluaskan peluang pendidikan dari enam tahun kepada sembilan tahun. Pelaksanaan polisi baru ini menyaksikan satu perubahan besar terhadap peraturan memasuki sekolah menengah. Syarat lulus Peperiksaan Darjah Enam untuk masuk sekolah menengah dihapuskan pada 1964. Kemasukan secara terbuka ini menyebabkan bilangan pelajar yang memasuki sekolah menengah mencapai angka yang sangat besar dan tiada piawai untuk mengukur keupayaan pelajar. Polisi ini mengakibatkan perbezaan kebolehan pelajar yang sangat luas dan menyebabkan perkhidmatan bimbingan yang dikenali sebagai 'panduan' diperkenalkan di sekolah-sekolah pada awal 1960-an (Amla 1984).

Dengan bantuan UNESCO seorang perunding dari Kanada, iaitu R.K.Mackenzie pada 1962-1963 telah membantu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memulakan khidmat bimbingan yang lebih dikenali sebagai 'panduan' di sekolah. Beliau menyediakan latihan mengendalikan perkhidmatan bimbingan kepada beberapa pegawai pendidikan Malaysia. Kemudian pada 1969, seramai 275 orang guru diberikan kursus singkat di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur dengan bantuan UNESCO sehingga 1980, kemudiannya program Sijil Khas Bimbingan dan Kaunseling diperkenalkan di maktab yang sama.

Selaras dengan usaha awal melahirkan guru 'panduan' tersebut, pihak Kementerian Pendidikan telah mengambil satu lagi langkah untuk menjayakan rancangan panduan itu dengan mengeluarkan peraturan yang dapat mengembangkan lagi bidang ini. Pada 1968, jawatan Ketua Unit Panduan Pelajaran telah diwujudkan. Ini diikuti dengan peraturan yang menentukan supaya guru panduan mengajar tidak lebih daripada 25 waktu setelah tugas guru panduan dikenal pasti. Pada waktu itu istilah 'panduan' telah digantikan dengan 'bimbingan'. Guru bimbingan sekolah menengah mempunyai 14 tugas, sementara guru bimbingan sekolah rendah mempunyai 11 tugas. Pada 1972 pihak Kementerian telah menyediakan peruntukan kewangan kepada sekolah untuk menjalankan aktiviti bimbingan dan kaunseling. Kemudian pada 1973, Kementerian Pendidikan Malaysia menubuhkan Unit Pendidikan Penyalahgunaan Dadah yang diletakkan di bawah bahagian sekolah-sekolah. Pada 1975 jawatan Penolong Ketua Unit Panduan Kerjaya telah diwujudkan.

Laporan Kabinet 1979 menyarankan supaya peranan guru panduan diluaskan kepada aspek tingkah laku pelajar dan tidak terbatas kepada panduan kerjaya sahaja. Laporan tersebut seterusnya mencadangkan supaya sebuah unit Hal Ehwal Murid di sekolah yang mempunyai Unit Bimbingan dan Kaunseling yang baru diwujudkan. Cadangan ini telah dilaksanakan dan guru bimbingan kemudiannya diarahkan supaya meluaskan khidmat bimbingan merangkumi aspek peribadi dan sosial (Kementerian Pendidikan 1993).

Kemudian pada 1981, Unit Pendidikan Penyalahgunaan Dadah ditukar menjadi Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan diketuai oleh seorang yang bertaraf Ketua Penolong Pengarah dan dibantu oleh empat pegawai. Pada tahun yang sama pegawai untuk menyelaraskan pendidikan penyalahgunaan dadah turut dilantik. Peranan mengajar guru bimbingan terus dikurangkan kepada 12 waktu apabila pihak Kementerian Pendidikan semakin peka terhadap kepentingan peranan program bimbingan dan kaunseling dalam membantu pertumbuhan yang sihat dalam kalangan murid-murid.

Pekeliling KP (BS) 859/Jld.2 (29) Kementerian Pelajaran Malaysia bartarikh 2 Januari 1985 (Kementerian Pendidikan 1993) mengarahkan supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah. Dasar yang menggariskan beban kerja guru bimbingan ini disertakan dengan peruntukan kewangan sebanyak 40 sen setahun untuk setiap pelajar mulai 1993 dan jumlah itu kekal hingga ke hari ini (Pekeliling KP 1573/17/Jld.8/(78)). Akhirnya pada bulan Jun tahun 1996, jawatan kaunselor sekolah sepenuh masa diwujudkan.

Aspek profesionalisme kerja dalam bidang ini semakin diberi perhatian. Sebuah pertubuhan vokasional yang dipanggil 'Malaysian Vacational Guidance Association' ditubuhkan pada 1973 untuk mengembangkan bidang ini pada tahap nasional dan antarabangsa. Persatuan Kaunseling Malaysia atau yang lebih dikenali sebagai PERKAMA kemudian ditubuhkan secara rasminya pada 1982. Pada awal 1990 bidang kaunseling dijangka mampu untuk memberikan perkhidmatan yang profesional. Dengan itu langkah tertentu telah diambil untuk meningkatkan taraf kerjaya dalam bidang tersebut sebagai sebuah profesion. Pihak Kementerian Perpaduan Negara mengambil inisiatif memulakan langkah menubuhkan sebuah majlis yang dinamakan Majlis Kaunseling Kebangsaan untuk memulakan usaha ke arah penggubalan akta kaunselor, yang kemudiannya diluluskan oleh Parlimen Malaysia dan akhirnya diwartakan pada awal 2000. Akta yang dikenali sebagai Akta Kaunselor 580 ini, selain menjadi pelindung kepada pengguna dan klien dalam aktiviti kaunseling, juga mempunyai peruntukan penubuhan sebuah lembaga yang dinamakan Lembaga Kaunselor Malaysia dengan fungsinya mengawal selia amalan kaunseling di Malaysia. Tugas utama lembaga tersebut ialah mendaftarkan semua kaunselor di Malaysia dan mengeluarkan lesen amalan kaunseling bagi kaunselor berdaftar yang ingin memberikan khidmat mereka kepada orang ramai. Selain daripada itu, lembaga juga bertanggungjawab menentukan piawai latihan kaunseling di negara ini dan kuasa mendakwa terhadap amalan kaunseling yang bertentangan dengan peruntukan dalam akta. Ringkasnya dengan terwartanya Akta Kaunselor 580 tersebut, maka tahap profesionalisme kaunseling di Malaysia dapat dipertingkatkan (Abdul Halim 2001; Akta Kaunselor 580 1998).

KAUNSELING DALAM SEKTOR BANK

Antara institusi kewangan yang menyediakan khidmat bimbingan dan kaunseling ialah Bank Negara Malaysia. Sebuah unit kaunseling ditubuhkan dan ditempatkan di Jabatan Personel di bank tersebut pada Jun 1990. Ia dianggotai oleh seorang kaunselor dan dibantu oleh seorang pegawai pentadbir serta seorang jurutaip. Unit tersebut ditubuhkan dengan tujuan:
  •  Membantu kakitangan menghadapi masalah dalam menjalani kehidupan, pekerjaan, kewangan dan penempatan.
  • Memastikan perkhidmatan kaunseling yang berkesan dapat diberikan kepada kakitangan yang memerlukan.
  • Memastikan kakitangan yang berkenaan sama ada individu atau kelompok diberi layanan dan khidmat yang memuaskan melalui pendekatan yang benar-benar produktif.
Unit ini mempunyai kemudahan asas yang baik seperti bilik yang kedap suara, kelengkapan perabot, talian telefon, jam dinding, radio kaset dengan pita rakaman dan gambar lukisan yang menjadikan bilik selesa.
           
Kaunselor yang bertugas dalam Unit Kaunseling diletakkan di Jabatan Personel. Beliau menerima kes rujukan dan bertanggungjawab terus kepada Pengurus Jabatan Personel. Bagaimanapun kaunselor mempunyai kebebasan menerima atau menentukan temu janji dengan klien yang direkodkan. Selain menerima kes rujukan, kaunselor juga mempunyai bidang tugas lain yang telah ditentukan. Antara tugas kaunselor di Bank Negara Malaysia:
  • Memberi khidmat kaunseling kepada kakitangan yang mempunyai masalah peribadi, kerjaya, keluarga dan lain-lain.
  • Mengendalikan kaunseling kelompok kepada kumpulan sasaran yang dikenal pasti.
  • Merangka kursus untuk pembangunan kakitangan bank.
  • Menyediakan modul yang bersesuaian mengikut kategori dan tahap pemahaman peserta kursus.
  • Merekodkan semua kes kaunseling secara sulit dan peribadi.
  • Menghadiri seminar, kursus, simposium, konferen, bengkel bagi pihak bank yang berhubung kait dengan profesion kaunseling.
  • Mengenal pasti kes yang memerlukan perkhidmatan kaunseling dengan kes psikiatris kepada pakar di Hospital Besar.
  • Melaporkan kepada pihak berkuasa Bank (jika perlu) kes yang dianggap kritikal.

Selain itu, kaunselor juga bertanggungjawab menghebahkan penubuhan unit tersebut, memberi ceramah di Pusat Latihan Kakitangan, mengiklankan perkhidmatan melalui Berita Kijang, majalah bulanan yang diterbitkan untuk kakitangan, serta memberi penerangan dalam sesi dialog semasa membuat lawatan rasmi ke cawangan.

Sasaran perkhidmatan kepada semua kakitangan bank negara serta cawangannya. Perancangan program dan aktiviti dibuat berasaskan kepada tiga kategori utama. Pertama, mereka yang baru yang memerlukan orientasi dari induksi. Kedua, mereka yang telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun. Ketiga, mereka yang hampir mencapai umur persaraan.

Kaunselor yang bertugas perlu memberikan khidmatnya kepada 11 cawangan Bank Negara di seluruh Malaysia. Perjalanan yang memakan masa menjadi cabaran kepada keberkesanan perkhidmatan.

KAUNSELING DALAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai matlamat tertentu terhadap penubuhan unit kaunseling dalam organisasi tersebut. Menurut Rokiah (1994) kaunseling dianggap sebagai satu kaedah meningkatkan disiplin, moral dan semangat anggota tentera dalam menjalankan kewajipan mempertahankan negara. Antara tujuan penubuhan tersebut:
  • Meningkatkan status tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota tentera. Dengan itu mereka tahu bagaimana menghadapi tekanan-tekanan hidup yang menimbulkan ketidakselesaan individu.
  • Meningkatkan keyakinan diri ahli supaya positif melalui latihan ketenteraan dan kemahiran interpersonal.
  • Menguasai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Kemahiran ini penting bagi menentukan moral dan semangat mereka sentiasa tinggi.
  • Membolehkan ahli mengubah tingkah laku kepada positif dan tidak melencong.

Seperti organisasi lain, unit kaunseling ATM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok. Sasaran kaunseling adalah pegawai pemerintah, komandan, jurulatih serta pegawai kebajikan, anggota pasukan yang menjalani tugas khas, seperti misi Bangsa-bangsa Bersatu dan ahli sukan ATM.
           
Masalah yang dibincangkan oleh anggota angkatan tentera didapati berbeza daripada masalah yang sering dibincangkan oleh klien biasa. Antara masalah yang dikemukakan ialah yang berkait dengan perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tekanan kerana tidak memahami matlamat organisasi yang jelas, perasaan kecewa apabila membandingkan ATM dengan organisasi lain, tekanan kerana tidak ada kesinambungan kepimpinan, masalah yang timbul akibat perubahan ekonomi dan sosial. Nyata bahawa senarai masalah yang sering dikemukakan oleh anggota tentera berbeza dengan jenis masalah yang dikemukakan oleh kumpulan lain.

Kaunselor dalam organisasi ini lebih menumpukan aktiviti bimbingan kelompok secara berstruktur, seperti ceramah dan bengkel kemahiran, menjalankan penyelidikan dan menjadi perunding dalam pasukan. Perkhidmatan ini sedang dikembangkan dengan usaha ke arah penubuhan sel-sel kaunseling.

Usaha yang sedang dilakukan seperti menghantar pegawai-pegawai mengikuti kursus latihan kaunseling, menghadiri kursus pendek bagi pegawai muda yang dianggap sebagai kursus pendedahan, mencadangkan unit kaunseling ditubuhkan di pusat latihan ketiga-tiga bahagian tentera, iaitu tentera darat, laut dan udara.

Pelaksanaan khidmat kaunseling dalam organisasi tersebut berhadapan dengan dua cabaran besar. Pertama, sistem hierarki yang ketara dan menyulitkan proses kaunseling. Kedua, salah faham tentang kaunseling yang disamakan dengan rawatan psikiatri dan kadangkala sebagai rawatan perubatan. Mereka tidak menggunakan perkhidmatan ini seperti yang sepatutnya kerana bimbangkan stigma sakit jiwa.

LATIHAN KAUNSELOR

Seperti yang disebutkan pada awal perbincangan, pihak Kementerian Pendidikan telah memulakan latihan singkat untuk mengeluarkan guru panduan UNESCO antara 1962-63, di mana sekumpulan personalia dari Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri telah dilatih di England. Kemudian pada 1969 kursus panduan dalam perkhidmatan yang pertama diperkenalkan. Kursus selama enam hari ini melatih guru-guru panduan sekolah.

Universiti Malaya adalah universiti pertama menawarkan kursus Bimbingan dan Kaunseling untuk program Diploma Pendidikan sekitar awal 1970-an. Kemudian UKM turut menawarkan kursus Bimbingan dan Teori Kaunseling Kerjaya untuk program Ijazah Psikologi. Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur adalah institusi pertama yang menawarkan program bimbingan kaunseling sepenuhnya apabila memperkenalkan program Sijil Bimbingan dan Kaunseling pada 1979.

Selepas itu, universiti lain turut memperkenalkan program Bimbingan dan Kaunseling baik pada peringkat ijazah mahupun peringkat sarjana. Pada 1980 UKM memperkenalkan Diploma Psikologi dengan pengkhususan dalam bidang kaunseling. Ini diikuti oleh UPM yang memperkenalkan program Bachelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) pada 1981. USM dan UIAM juga turut menawarkan program latihan kaunselor pada peringkat sarjana. Sementara Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pendidikan Malaysia memulakan program kaunseling jangka pendek (7/8 minggu) pada 1982 (Kementerian Pendidikan Malaysia 1993), Fakulti Pendidikan UKM mengambil langkah memperkenalkan program Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dalam bentuk kursus dan praktikum. Universiti lain yang menawarkan program sarjana dalam bidang ini kemudian turut mengubah bentuk latihan daripada tesis kepada program berbentuk kursus dan praktikum. UTM, UMS dan UPSI juga turut menawarkan program-program kaunseling. Hingga kini hampir semua universiti awam di Malaysia menawarkan program latihan dalam bidang kaunseling.

Pihak Lembaga Kaunselor Malaysia yang bertanggungjawab mengawal selia amalan kaunseling telah menjalankan satu kajian tentang latihan di institusi-institusi pengajian tersebut. Kajian mengenai program yang dijalankan didapati tidak seragam. Bagaimanapun semua program mempunyai ciri asas yang sama (Amla 2001). Dalam pada itu Fakulti Pendidikan UKM sedang giat mengusahakan program peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) yang bercirikan kerja kursus, intenship dan disertasi. Demikian juga program pada peringkat ijazah pertama didapati semakin mantap. Akta Kaunselor 580 dan Lembaga Kaunselor Malaysia yang berfungsi mengawal selia amalan kaunseling menjadi penjamin kepada peningkatan tahap profesionalisme kaunseling di Malaysia.

1 comment: