Bintang

salji

Wednesday, 31 October 2012

Apa Itu Kaunseling Individu?


DEFINISI 

Kaunseling individu merupakan perhubungan bersemuka antara seorang klien untuk mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan tersebut disifatkan oleh ciri-ciri seperti penerimaan klien secara tulen, saling hormat-menghormati dan penekanan terhadap keperluan-keperluan serta perasaan klien. Selain itu, kaunseling individu juga ialah suatu pertemuan antara seorang kaunselor dengan seorang klien untuk mengadakan satu proses perhubungan atau interaksi profesional dan memusatkan tumpuan kepada aspek-aspek penyesuaian dan perkembangan diri klien dan diikuti dengan membuat keputusan terbaik daripada alternatif-alternatif yang diperlukan.

Terdapat pelbagai definisi yang telah dikemukakan, menurut Zuraidah Abdul Rahman (2002) telah mentaktifkan kaunseling individu sebagai satu perhubungan yang bersemuka di mana seseorang klien mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan tersebut disifatkan oleh ciri-ciri seperti penerimaan klien secara tulen, saling hormat menghormati dan penekanan terhadap keperluan-keperluan dan perasaan klien.

Shertzer & Stone (1974) pula menegaskan bahawa kaunseling individu sebagai proses interaksi yang memudahkan pemahaman bermakna mengenai diri dan alam sekelilingnya lalu menyebabkan penentuan matlamat-matlamat dan nilai-nilai tingkah laku masa hadapan klien.

Kamaruzaman Jamal dan Abdul Halim Othman (1999) mendefinisikan kaunseling individu sebagai perhubungan antara seorang yang lain dalam mana ia menolong yang lain itu menyelesaikan konflik, atau penentangan yang belum diselesaikan.


Muhd Mansur Abdullah (1993) mendapati kaunseling individu merupakan suatu pemusatan hal peribadi, hubungan bersemuka antara dua manusia apabila seorang kaunselor dengan kemampuan yang ada padanya menyediakan satu situasi pembelajaran yang membolehkan kliennya mengenali dirinya sendiri, membuat keputusan dan pemilihan bagi memenuhi keperluan.

Terdapat pelbagai tujuan kaunseling individu dilakukan. Antaranya ialah untuk memberi maklumat. Masalah klien selalunya berkaitan dengan kekurangan maklumat dan kefahaman yang jelas berhubung dengan masalah daripada kaunselor. Seterusnya ialah menggalakkan celik akal. Hal ini membantu klien memahami lebih lanjut mengenai dirinya dan mengetahui bahawa dirinya adalah kunci kepada masalah yang hihadapi. Tujuan lain ialah memberi sokongan kerana klien memerlukan sokongan emosi yang tidak berbelah bahagi, kemesraan dan pameran perasaan yang diharapkan dapat mengurangkan bebanan masalah. Di samping itu, untuk penyelesaian konflik. Kaunselor membantu klien untuk mencari jalan untuk mencapai penyelesaian yang baik. Akhir sekali ialah untuk membuat keputusan iaitu kaunselor membantu klien membuat keputusan dan mengemukakan cadangan dan berbincang dengan klien sebelum sesuatu keputusan diambil.

Selain itu, kaunseling individu juga terdiri daripada pelbagai jenis. Antaranya ialah kaunseling akademik, kaunseling kerjaya, kaunseling pemulihan, dan kaunseling peribadi. Proses kaunseling individu berlaku mengikut peringkat-peringkat tertentu iaitu tahap membina hubungan, penerokaan, mengenalpasti masalah dan membina matlamat, membina alternatif penyelesaian, mengambil tindakan dan penamatan.

CIRI KAUNSELING INDIVIDU

Bagi memahami bidang kaunseling secara keseluruhan,pengetahuan tentang cirri-ciri kaunseling individu itu sendiri haruslah difahami.
  • Kaunselor sebaiknya menghormati kejujuran klien yang datang meminta pertolongan. Klien berjumpa dengan kaunselor untuk menceritakan persoalan bukanlah perkara yang mudah dan dianggap remeh. Kemungkinan sebelum itu,klien berkonflik dengan dirinya untuk membuat keputusan untuk meminta bantuan atau sebaliknya.
  • Menjadi tugas kaunselor untuk memberi kefahaman kepada klien tentang matlamat serta limitasi kaunseling supaya tidak timbul salah tanggapan atau persepsi yang meleset.
  • Kaunselor harus menyedari keupayaan dan tanggungjawabnya dengan mengundurkan diri jika tidak berupaya menangani keperluan klien dengan mencadangkan perkhidmatan lain yang lebih dominan dan signifikan dengan konflik yang dialami oleh klien.
  • Kaunselor  harus sentiasa menyedari limitasi dan menghormati etika untuk menyakinkan klien bahawa segala maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan di samping klien bebas memberi maklumat  serta memilih alternatif yang difikirkan dapat menbantu kaunselor membantunya.
  • Jika didapati keadaan klien mengancam kebajikan atau keselamatan diri dan orang lain,maka adalah menjadi tanggungjawab kaunselor melaporkan kepada pihak tertentu atau dirujuk kepada pihak  pihak yang berkaitan dengan mencadangkan perkhidmatan lain dan profesional lain yang lebih berpengalaman.
  • .Kaunselor perlu menyakinkan klien bahawa segala maklumat yang diberikan adalah rahsia. Bagaimanapun,jika didapati keadaan klien mengancam kabjikan atau kesihatan diri sendiri atau orang lain, maka adalah menjadi tanggungjawab kaunselor melaporkan hal itu kepada pihak-pihak yang tertentu atau dirujuk kepada perkhidmatan yang sesuai.
  • Sebagai kaunselor yang profesional,kaunselor berhak meminta pandangan dan nasihat daripada professional lain dengan tujuan menjelajah beberapa kemungkinan memberi pertolongan yang berkesan kepada kliennya.
Stewart et al (1978) mengatakan terdapat beberapa elemen yang perlu diberi perhatian dalam kaunseling individu. Elemen-elemen tersebut adalah seperti :

1. Kerahsiaan - Dialog perbincangan dalam kaunseling tidak boleh melampaui batas. Bilik kaunseling  hendaklah jauh daripada gangguan orang lain seperti bunyi telefon dan gangguan suara bising. Ini bertujuan     untuk melindungi rahsia klien kerana perbincangan antara kaunselor dengan klien adalah sulit.

2. Wujud status yang sama antara kaunselor dengan klien - Kaunselor hendaklah peka kepada perkara yang mungkin mencetus persepsi perbezaan status antara  kaunselor dengan klien. Contohnya,duduk di kerusi yang lebih tinggi daripada klien atau duduk di belakang meja yang besar.

3. Kaunseling yang dilakukan tidak terburu-buru - Seringkali dalam kaunseling,dalam masa setengah jam yang pertama,kaunselor tidak dapat menangkap apa persoalan sebenar yang diceritakan oleh klien.Oleh itu,kaunselor hendaklah sabar untuk memberi masa kepada klien menyesuaikan diri dan masuk kepada perbincangan sebenar tanpa tergesa-gesa.

4. Bilik kaunseling yang bersesuaian - Kaunseling dilakukan dalam bilik yang bersesuaian. Bilik kaunseling seboleh-bolehnya tidak digunakan untuk tujuan lain. Ini penting untuk menyakinkan klien tentang kaunseling yang diberikan dan imej profesion kaunseling.

5. Suasana perbincangan adalah menenangkan - Perbincangan antara kaunselor dengan klien sentiasa berlaku dalam keadaan yang menenangkan. Perbincangan yang boleh menimbulkan perasaan segan klien perlulah dielakkan berlaku. Kaunselor juga hendaklah merancang dan mengawal masa kaunseling.

JENIS-JENIS KAUNSELING

  1. Pendekatan krisis – pendekatan ini mengendalikan kes krisis yang timbul secara mendadak dan memerlukan perhatian serta tindakan daripada kaunselor dan pihak atasan. Pendekatan ini memaksa kaunselor bertindak serta merta kepada krisis yang timbul. Oleh itu, tujuan pendekatan ini ialah untuk menangguh tindakan agar tidak sampai ke tahap yang kritikal.
  2. Pendekatan pemulihan – pendekatan ini memberi fokus kepada kekurangan yang dapat dikenalpasti dari masa ke semasa. Ia juga dijalankan dengan harapan dapat mengubah tingkah laku terhadap masalah yang dialami contohnya, merokok, melawan guru dan ponteng sekolah.
  3. Pendekatan pencegahan – pendekatan ini berdasarkan persepsi bahawa satu-satu masalah itu sampai ke tahap krisis usaha dijalankan untuk menghalangnya seperti mengadakan kempen, ceramah atau kem.
  4. Pendekatan pengembangan – pendekatan ini adalah satu usaha untuk mengenal pasti kebolehan dan keperluan pelajar di alam persekolahan. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan kurikulum dan kokurikulum diberikan bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk mengenali diri mereka dan berkembang. Pendekatan ini amat diutamakan. Bagi bidang perkhidmatan  bimbingan dan kaunseling adalah seperti berikut:
  5. ·         Perkembangan agama dan moral
    ·         Perkembangan psikososial
    ·         Perkembangan kognitif dan afektif
    ·         Perkembangan fizikal dan seksual
    ·         Perkembangan vokasional dan kerjaya
     JENIS-JENIS KAUNSELING INDIVIDU
  1.       Kaunseling akademik – menyediakan kaunseling dalam usaha membantu klien memilih mata pelajaran yang sejajar dengan minat, keupayaan dan pencapaian mereka. Selain itu, kaunseling akademik juga menyampaikan maklumat mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara ataupun luar negara.  
  2.       Kaunseling kerjaya – membantu klien mendapatkan maklumat kerjaya yang sejajar dengan minat, bakat, keupayaan dan pencapaian akademik. Menurut Holland dalam Gibson & Mitchell (1981), individu akan memberi persekitaran kerja yang berkaitan dengan minat mereka, kesesuaian pekerjaan dengan minat pekerja yang akan memberi kepuasan yang lebih. Oleh itu, asas kaunseling kerjaya  bagi kaunselor kerjaya ialah mengidentifikasikan kerjaya yang sesuai dengan minat kerjaya. Kaunseling kerjaya juga menolong klien menyelesaikan masalah pemilihan kerjaya serta mendedahkan kepada klien secara meluas jenis-jenis kerjaya di sektor awam dan sector swasta. Kaunseling kerjaya juga boleh memberi peringatan dan kesedaran kepada klien bahawa perancangan kerjaya adalah perlu.
  3.             Kaunseling pemulihan – (Stone, 2002) menyenaraikan 3 sebab mengapa perlunya kaunseling pemulihan iaitu: (i) Kaunselor pemulihan mengendalikan kes-kes klien yang mempunyai masalah fizikal seperrti kecelaruan tingkah laku atau kecacatan. (ii) Kaunselor pemulihan bertanggungjawab menyediakan klien dengan maklumat pendidikan dan rawatan pemulihan. Kejayaan kaunselor pemulihan selalu diukur dengan kejayaan mereka untuk membantu klien mendapatkan pekerjaan. (iii) Klien telah mengharapkan kaunselor pemulihan menyediakan perkhidmatan yang luas terutamanya berkaitan dengan kecacatan dan ketidakupayaan memperoleh pekerjaan. Klien mempunyai harapan dan jangkaan yang tinggi terhadap kaunselor.
  4.      Kaunseling peribadi – merupakan kaunseling yang meneroka pertumbuhan kendiri klien, mebantu klien memahami pelbagai keperluan dan masalah yang berkaitan. Tujuan kaunseling individu adalah untuk membantu klien memperoleh kefahaman kendiri, iaitu membantu klien memperolehi maklumat dan membentuk sikap celik akal dan nilai yang sejajar dengan kehendak masyarakat. Kaunseling individu juga menolong klien berkomunikasi dengan lebih berkesan dan membina perhubungan yang baik dengan anggota-anggota lain. Dalam proses kaunseling individu juga akan membantu klien untuk mambuat keputusan yang waras dan bijaksana.

1 comment: