Bintang

salji


Tuesday 30 October 2012

Apa Itu Kaunseling?

KAUNSELING

Kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor dan juga seorang klien. Kaunseling sebenarnya bukan bererti memberi nasihat walaupun terdapat cadangan yang diberikan. Malahan, kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien tetapi mencari jawapan bersama.

Menurut Rogers (1951), dalam satu proses kaunseling, seorang klien akan menceritakan hal-halnya dari kejadian yang lepas dan beransur kepada yang lebih meruncing sehingga menceritakan 'saya', 'di sini' dan 'pada masa ini' ialah keadaan semasa tentang dirinya sahaja.

Mengikut Patterson (1986), mendefinisikan kaunseling adalah satu lambang yang profesional antara seorang kaunselor yang terlatih dengan seorang klien. Tujuannya adalah membantu klien memahami dan menjelaskan pandangan mereka terhadap ruang kehidupan serta belajar mencapai matlamat yang mereka tentukan sendiri.

Menurut pandangan Blocher (1974), kaunseling merupakan satu proses menolong individu supaya lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana dia bergerak balas kepada pengaruh-pengaruh alam sekelilingnya. 

Corey (1977) pula menekankan tentang proses dimana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah kepada dirinya. 

Manakala James (1982) mendefinisikan kaunseling sebagai satu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu.

BIMBINGAN

Perkataan bimbingan tidak asing dalam bidang kaunseling. Ia adalah proses yang melibatkan seorang individu yang terlatih dengan seorang individu yang memerlukan bantuan. Bimbingan melibatkan proses memberi bantuan, tunjuk ajar, nasihat, membimbing dan sebagainya untuk mencapai matlamat tertentu yang telah ditetapkan sejak awal sesi.

Menurut Gladding (2000), bimbingan merupakan proses membantu individu membuat keputusan yang penting di dalam hidupnya yang akan mempengaruhi kehidupannya. Menurut Suradi (1997), bimbingan ialah proses untuk membantu individu memahami dirinya dan dunia disekelilingnya supaya ia boleh menggunakan kebolehan, keupayaan dan bakat yang ada dengan sepenuhnya.

Shetzer & Stone (1971), bimbingan sebagai proses menolong individu untuk memahami dirinya dan alam sekelilingnya. Shetzer & Stone juga mengatakan bimbingan ialah memberikan perkhidmatan kepada orang yang normal. Prosesnya pula menunjukkan satu usaha yang berterusan dan banyak langkah yang terlibat untuk mencapai matlamatnya. Menolong iaitu membantu memahami diri termasuklah memahami individu dan juga memahami identiti peribadi sendiri. Manusia meneliti alam sekeliling dengan melihat manusia di sekelilingnya, peluang-peluang pekerjaan dan lain-lain. 

PSIKOTERAPI

Psikoterapi semakin penting bagi masyarakat kita hari ini. Ia adalah proses rawatan psikologi yang mendalam dan ia memberi fokus kepada perubahan personaliti dan tingkah laku yang dihujung kontinum permasalahan manusia. Psikoterapi sering tidak berlaku dalam sesi kaunseling kerana ia melibatkan rawatan terhadap kecelaruan personaliti yang serius.

Menurut Kamus Dewan (2002), psikoterapi ialah rawatan sakit jiwa atau gangguan mental dengan menggunakan kaedah psikologi. Mengikut Hamdani (2001), psikoterapi berasal dari kata psyche dan therapy. Ia bermaksud jiwa dan hati, akal dan diri atau bahagian dari diri manusia dari aspek yang lebih bersifat rohaniah.

Menurut Maznah dan Zainal (2003), psikoterapi ialah proses membantu individu bermasalah yang lebih serius. Biasanya ia mengambil masa yang lebih lama dan melibatkan peranan psikiatris yang berkemahiran dalam bidang psikologi dan perubatan.

 Manakala menurut Marks (2004), psikoterapi berfokus kepada rawatan konflik interpersonal yang memberi kesakitan atau keselesaan kepada pesakit. Ia adalah berbeza dengan Latner (1973) yang menyatakan psikoterapi ialah satu teknik yang tidak dapat ditakrif, yang digunakan untuk masala yang tidak khusus dan hasilnya tidak dapat diduga.

Selain itu, Hoehn-Saric (1964), psikoterapi sebagai satu siri interaksi kognitif dan emosi antara pesakit dan emosi yang terbina daripada interaksi member asas kepada perhubungan klien. Manakala Branch (1981), psikoterapi ialah proses dimana dua orang berinteraksi atau berusaha untuk mencapai pemahaman antara satu dengan lain bagi mencapai matlamat khusus yang menuju ke arah perkembangan diri.

Hamdani (2001) pula mengatakan psikoterapi ialah perubatan penyakit dengan cara kebatinan atau penerapan teknik khusus pada penyembuhan penyakit mental atau pada kesulitan penyesuaian diri setiap hari.

Berdasarkan maksud-maksud tersebut dapat dirumuskan bahawa istilah psikoterapi mencakupi pelbagai definisi yang kesemuanya dimaksudkan membantu individu yang emosinya tertanggu. Tujuannya untuk mengubah pemikiran, perilaku dan perasaan sehingga dapat mengembangkan potensi dirinya ke arah yang positif.

No comments:

Post a Comment