KAUNSELING
Kaunseling adalah satu
proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor dan juga seorang klien.
Kaunseling sebenarnya bukan bererti memberi nasihat walaupun terdapat cadangan
yang diberikan. Malahan, kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada
semua persoalan klien tetapi mencari jawapan bersama.
Menurut Rogers (1951),
dalam satu proses kaunseling, seorang klien akan menceritakan hal-halnya dari
kejadian yang lepas dan beransur kepada yang lebih meruncing sehingga
menceritakan 'saya', 'di sini' dan 'pada masa ini' ialah keadaan semasa tentang
dirinya sahaja.
Mengikut Patterson
(1986), mendefinisikan kaunseling adalah satu lambang yang profesional antara
seorang kaunselor yang terlatih dengan seorang klien. Tujuannya adalah membantu
klien memahami dan menjelaskan pandangan mereka terhadap ruang kehidupan serta
belajar mencapai matlamat yang mereka tentukan sendiri.
Menurut pandangan Blocher
(1974), kaunseling merupakan satu proses menolong individu supaya lebih sedar
tentang dirinya dan bagaimana dia bergerak balas kepada pengaruh-pengaruh alam
sekelilingnya.
Corey (1977) pula
menekankan tentang proses dimana seorang klien diberi peluang untuk menerokai
aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah kepada dirinya.
Manakala James (1982)
mendefinisikan kaunseling sebagai satu proses pembelajaran yang lebih
menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya,
membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu.
BIMBINGAN
Perkataan bimbingan tidak asing dalam bidang kaunseling. Ia adalah proses yang melibatkan seorang individu yang terlatih dengan seorang individu yang memerlukan bantuan. Bimbingan melibatkan proses memberi bantuan, tunjuk ajar, nasihat, membimbing dan sebagainya untuk mencapai matlamat tertentu yang telah ditetapkan sejak awal sesi.
Menurut
Gladding (2000), bimbingan merupakan proses membantu individu membuat keputusan
yang penting di dalam hidupnya yang akan mempengaruhi kehidupannya. Menurut
Suradi (1997), bimbingan ialah proses untuk membantu individu memahami dirinya
dan dunia disekelilingnya supaya ia boleh menggunakan kebolehan, keupayaan dan
bakat yang ada dengan sepenuhnya.
Shetzer & Stone (1971), bimbingan sebagai
proses menolong individu untuk memahami dirinya dan alam sekelilingnya. Shetzer
& Stone juga mengatakan bimbingan ialah memberikan perkhidmatan kepada
orang yang normal. Prosesnya pula menunjukkan satu usaha yang berterusan dan
banyak langkah yang terlibat untuk mencapai matlamatnya. Menolong iaitu membantu
memahami diri termasuklah memahami individu dan juga memahami identiti peribadi
sendiri. Manusia meneliti alam sekeliling dengan melihat manusia di
sekelilingnya, peluang-peluang pekerjaan dan lain-lain.
PSIKOTERAPI
Psikoterapi semakin penting bagi masyarakat kita hari ini. Ia adalah proses rawatan psikologi yang mendalam dan ia memberi fokus kepada perubahan personaliti dan tingkah laku yang dihujung kontinum permasalahan manusia. Psikoterapi sering tidak berlaku dalam sesi kaunseling kerana ia melibatkan rawatan terhadap kecelaruan personaliti yang serius.
Menurut
Kamus Dewan (2002), psikoterapi ialah rawatan sakit jiwa atau gangguan mental
dengan menggunakan kaedah psikologi. Mengikut Hamdani (2001), psikoterapi
berasal dari kata psyche dan therapy. Ia bermaksud jiwa dan hati, akal dan diri
atau bahagian dari diri manusia dari aspek yang lebih bersifat rohaniah.
Menurut Maznah dan Zainal (2003),
psikoterapi ialah proses membantu individu bermasalah yang lebih serius.
Biasanya ia mengambil masa yang lebih lama dan melibatkan peranan psikiatris
yang berkemahiran dalam bidang psikologi dan perubatan.
Manakala menurut Marks (2004),
psikoterapi berfokus kepada rawatan konflik interpersonal yang memberi
kesakitan atau keselesaan kepada pesakit. Ia adalah berbeza dengan Latner
(1973) yang menyatakan psikoterapi ialah satu teknik yang tidak dapat ditakrif,
yang digunakan untuk masala yang tidak khusus dan hasilnya tidak dapat diduga.
Selain itu, Hoehn-Saric (1964),
psikoterapi sebagai satu siri interaksi kognitif dan emosi antara pesakit dan
emosi yang terbina daripada interaksi member asas kepada perhubungan klien.
Manakala Branch (1981), psikoterapi ialah proses dimana dua orang berinteraksi
atau berusaha untuk mencapai pemahaman antara satu dengan lain bagi mencapai
matlamat khusus yang menuju ke arah perkembangan diri.
Hamdani (2001) pula mengatakan
psikoterapi ialah perubatan penyakit dengan cara kebatinan atau penerapan
teknik khusus pada penyembuhan penyakit mental atau pada kesulitan penyesuaian
diri setiap hari.
Berdasarkan maksud-maksud tersebut
dapat dirumuskan bahawa istilah psikoterapi mencakupi pelbagai definisi yang
kesemuanya dimaksudkan membantu individu yang emosinya tertanggu. Tujuannya
untuk mengubah pemikiran, perilaku dan perasaan sehingga dapat mengembangkan
potensi dirinya ke arah yang positif.
No comments:
Post a Comment